WAKAF ASNB yang disediakan secara kerjasama dengan MAIWP menggunakan konsep waqf muabbad. - Gambar NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
WAKAF ASNB yang disediakan secara kerjasama dengan MAIWP menggunakan konsep waqf muabbad. - Gambar NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
BERNAMA

WAKAF ASNB yang baru dilancarkan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) sudah mencecah dana berjumlah RM30 juta dan pengagihan dividen sulungnya dijadualkan pada separuh pertama 2023, kata Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Beliau berkata, produk itu terbukti menjadi eksperimen yang berjaya bagi PNB sebagai satu daripada inovasinya dalam kewangan Islam.

"Kami melancarkan produk ini Oktober tahun lalu dan orang ramai sudah mewakafkan pelaburan mereka lebih RM30 juta dalam tempoh masa itu, yang mana ia suatu yang agak luar biasa, dan menjadi satu daripada dana wakaf terbesar yang terpantas di Malaysia.

"Dari satu segi, ini inovasi yang kami berbangga dengannya. Ia menunjukkan bahawa orang sanggup menyumbang wang mereka, asalkan mereka ada rakan pelaburan yang boleh dipercayai yang melakukannya dengan komitmen dan menguruskannya dengan cara yang betul," katanya semasa sesi taklimat bersama editor yang diadakan pada minggu lalu, bersempena dengan pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB).

PNB, menerusi Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan saham amanah milik penuhnya, memperkenalkan perkhidmatan Wakaf ASNB yang membolehkan pemegang unit ASNB untuk terus menderma unit amanah mereka bagi manfaat masyarakat.

Wakaf ASNB yang disediakan secara kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan konsep waqf muabbad, iaitu derma secara berterusan yang mana dana wakaf akan dikekalkan sebagai pelaburan utama bagi menjana potensi pulangan tahunan.

"Dana Wakaf ini berpotensi menjadi dana sebesar RM100 juta, RM1 bilion atau ia juga boleh menjadi dana RM10 bilion. Dana ini boleh dipertingkat menjadi satu kaedah berbeza untuk menyumbang kepada masyarakat," katanya.

Ahmad Zulqarnain juga berkata, PNB akan lebih telus dari segi ke mana wang disalurkan dan ia akan menghantar laporan kepada mereka yang mewakafkan pelaburan mereka dan juga salinan kepada waris apabila individu itu meninggal dunia.

Menurutnya, pengagihan dana itu juga akan disalurkan ke seluruh negara, bukan hanya di Wilayah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 10:12 AM