MGB memeterai perjanjian bersama IESB yang diwakili  Lim  (empat dari kiri) dan Ramakrishnan (empat dari kanan) pada  majlis menandatangani perjanjian  di ibu pejabat LBS di Plaza Seri Setia, Selangor.
MGB memeterai perjanjian bersama IESB yang diwakili Lim (empat dari kiri) dan Ramakrishnan (empat dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian di ibu pejabat LBS di Plaza Seri Setia, Selangor.

MGB Berhad (MGB), anak syarikat LBS Bina Group, penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah mengumumkan anak syarikatnya Retro Court Sdn Bhd (RCSB) sudah memeterai Perjanjian Rangka Kerja (Perjanjian) dengan Invest Energy Sdn Bhd (IESB).

RCSB merupakan pemaju dan pengendali tanah perindustrian berat seluas 1,007 ekar di Kertih Terengganu Industrial Park (KTIP) manakala IESB merupakan pemaju dan juga pelabur di dalam solusi tenaga bersih terkemuka yang membabitkan tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga seperti pemulihan sisa haba, biojisim, biogas, tenaga solar, dan sistem janakuasa yang menghasilkan elektrik melalui gabungan haba dan kuasa.

Menerusi perjanjian terbabit, kedua-dua pihak merancang bekerjasama dan meneroka potensi reka bentuk, kewangan, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan Teknologi Kemudahan Utiliti Secara Berpusat (CUF) di KTIP.

Menurut terma perjanjian, IESB perlu menyediakan gabungan pelbagai utiliti seperti janakuasa, stim dan penyejukan di kawasan yang ditentukan oleh RCSB bagi meningkatkan kecekapan tenaga dan environmental footprint.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Ibu Pejabat LBS di Plaza Seri Setia, Selangor.

Pada sesi terbabit Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San menandatangani bagi pihak RCSB manakala IESB diwakili oleh Pengarah Urusan IESB, Anand Ramakrishnan disaksikan Pengarah Urusan MGB, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan serta Pengerusi dan Pengarah Eksekutif IESB, Azizi Meor Ngah.

Perjanjian terbabit berkuat kuasa pada 14 Disember 2022 selama setahun melainkan perjanjian itu ditamatkan oleh mana-mana pihak yang menandatangani Perjanjian Definitif.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB Tan Sri Lim Hock San berkata, menyumbang kepada agenda negara ke arah matlamat kelestarian alam sekitar, menjadi satu keutamaan Syarikat.

"Krisis tenaga atau iklim berlaku pada negara tidak boleh diabaikan. Kekayaan sumber sedia ada di KTIP, sekali gus menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk mempertimbangkan kecekapan tenaga dan environmental footprint dengan lebih efektif.

"Kami sangat optimis dengan kerjasama yang terjalin bahawa ia akan menawarkan potensi pertumbuhan ekonomi kukuh dan positif seiring dengan usaha kami memastikan penghasilan tenaga bersih, mengurangkan kos tenaga dan meningkatkan kecekapan di KTIP dapat dicapai," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan IESB, Anand Ramakrishnan berkata, pihaknya sangat teruja untuk membangunkan janakuasa tenaga hijau bersepadu dengan MGB di Malaysia.

"IESB akan melakukan pelaburan melalui perkongsian usaha sama dengan Swiss ESG Fund, SUSI Asia Energy Transition yang terletak di Singapura.

"Projek ini akan terus menyokong matlamat MGB untuk membawa masuk lebih banyak syarikat MNC bertaraf dunia dalam KTIP terutamanya syarikat yang peka terhadap perubahan iklim.

"Kami berkongsi matlamat yang sama untuk menyumbang dan menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon pada tahun 2050 ke arah penyahkarbonan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 7:01 AM