HOCK San (tiga kiri) bersama  tetamu kehormat termasuk Anwar (tengah) pada majlis menandatangani MOU yang berlangsung di Riyadh. FOTO BERNAMA
HOCK San (tiga kiri) bersama tetamu kehormat termasuk Anwar (tengah) pada majlis menandatangani MOU yang berlangsung di Riyadh. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: MGB Berhad (MGB) penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, memeterai Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan Almqr Development Co (ALMQR) dan Alameriah Real Estate Development Company (Alameriah).

ALMQR tertubuh menerusi Titah Diraja dan bertindak sebagai sayap pelaburan bagi Majlis Perbandaran Madinah, dengan matlamat untuk membangunkan bandar moden di samping mewujudkan persekitaran kondusif bagi mempertingkat gaya hidup.

Sementara itu, Alameriah, syarikat pemaju terkemuka di Arab Saudi, secara khususnya terbabit dalam aktiviti pembinaan am, pembangunan hartanah, infrastruktur, pembinaan hartanah bukan kediaman, projek utiliti serta pembuatan produk konkrit pratuang.

Menerusi MOU ini, ALMQR berhasrat untuk melantik Alameriah dan MGB sebagai perunding dalam pembangunan, pembinaan dan reka bentuk, pembuatan konkrit pratuang dan pengurusan projek dengan keupayaan kewangan dan teknikal yang kukuh bagi melaksanakan projek perintis di dalam bidang itu.

Syarikat ini juga merancang untuk meneroka peluang pelaburan di Madinah.

Majlis menandatangani MOU berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir Lim Hock San menandatangani bagi pihak MGB, ALMQR diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Majed Mohammad Al Shalhoob manakala Alameriah diwakili oleh Pengerusinya, Bandar Mohammed Al Amre.

Ia disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan menteri kabinet.

Sementara itu, Hock San berkata, pihaknya berharap untuk meneroka sinergi yang bakal diperolehi menerusi kerjasama itu.

"MGB akan menggunakan kepakaran serta pengalamannya di dalam menyediakan perkhidmatan holistik seperti reka bentuk dan pembinaan, pengurusan projek, kepakaran kejuruteraan, pembangunan infrastruktur dan pembangunan hartanah sekali gus mengintai peluang-peluang kolaborasi dengan pihak lain di bawah MOU ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 8:26 AM