MAHADHIR.
MAHADHIR.

Kuala Lumpur: Program eRezeki yang dikendalikan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), melatih 312,735 peserta sekali gus menjana jumlah pendapatan kolektif RM2.51 bilion setakat Disember 2021, sejak diperkenalkan pada 2015.

Program berkenaan bertujuan membuka ruang kepada komuniti B40 dan M40 di kawasan bandar memperoleh pendapatan tambahan melalui platform digital.

Program ini turut disenaraikan sebagai antara program utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts Mahadhir Aziz berkata, bagi meningkatkan penyertaan pihaknya melaksanakan program eRezeki sepanjang 2022, dengan fokus kepada program latihan dan penempatan pekerjaan yang tertumpu kepada penjanaan pendapatan bernilai tinggi untuk pekerja gig.

"Berlangsung tiga bulan bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember 2022, program eRezeki ini memperkasakan lebih 8,000 pekerja gig dengan menyasarkan penyertaan isi rumah daripada golongan B40 dan M40.

"Ia antara program di bawah Kempen Saya Digital, yang memberikan tumpuan kepada empat fokus utama iaitu SayaDigital Urusan Seharian, SayaDigital Memperkasa Kerjaya, SayaDigital Menambah Pendapatan dan SayaDigital Meluaskan Perniagaan.

"Program ini memberi tumpuan kepada teras ketiga dalam Kempen Saya Digital, iaitu Menambah Pendapatan, yang turut memfokuskan kepada sektor bernilai tinggi untuk peserta menjana pendapatan seperti bidang kreatif dan perniagaan; pembaikan, pemasangan dan penyelenggaraan serta perkhidmatan domestik; perkhidmatan pelancongan; penjagaan kesihatan dan gaya hidup; perkhidmatan profesional digital, iklan, promosi dan pemasaran; pendidikan dan latihan serta perkhidmatan pengedaran," katanya.

Menurutnya, MDEC bekerjasama dengan 10 rakan strategik yang dilantik daripada sektor bernilai tinggi berdasarkan kriteria ditetapkan dan kapasiti mereka dalam menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Katanya, sepanjang program eRezeki berlangsung, rakan kongsi strategik MDEC ini menjalankan latihan dan penempatan pekerja gig menerusi platform dalam talian dan sesi fizikal, serta memastikan peserta menjana pendapatan menerusi program tersebut.

"Jalinan kerjasama dengan rakan kongsi MDEC, terutama dalam menggalakkan aktiviti ekonomi perkongsian, termasuk ekonomi gig, diharap terus mendemokrasikan dan memudahkan akses ke arah menyertai ekonomi digital pertumbuhan tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 6:15 AM