ANTARA kanak-kanak yang menerima hamper daripada MR DIY di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
ANTARA kanak-kanak yang menerima hamper daripada MR DIY di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

MR DIY peruncit perkakas rumah terbesar Malaysia, baru-baru ini menyumbang hadiah sempena hari sukan Taska dan Tadika Istika Jaya OKU Pendengaran di Puchong, Selangor sebagai kesinambungan program tanggungjawab sosial mereka.

Pusat pendidikan awal kanak-kanak milik Persekutuan Orang Pekak Malaysa (MFD) berkenaan adalah satu-satunya pusat seumpamanya di negara ini yang menyediakan dan menampung program pendidikan awal bagi kanak-kanak pekak dan kurang pendengaran dari taska, tadika dan program transit.

MR DIY menerusi pasukan khidmat sosialnya MR DIY Cares menyampaikan lebih 15 hamper yang mengandungi alat tulis dan set permainan pendidikan kepada kanak-kanak terbabit.

Kanak-kanak berkenaan berusia antara tiga hingga 12 tahun itu menyertai pelbagai acara sukaneka yang diadakan di pusat pendidikan berkenaan.

Menerusi program berasingan, MR DIY juga turut menyokong penganjuran pertandingan pertunjukan fesyen kanak-kanak yang diadakan di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya dengan sumbangan 10 hamper sebagai hadiah.

Pertunjukan berkenaan yang diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan, menyaksikan lebih daripada 30 penyertaan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang berpakaian seperti seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma.

Pengerusi Kumpulan MR DIY, Datuk Azlam Shah Alias ketika mengulas kedua-dua program berkenaan berkata, selepas pandemik, sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia terutamanya kanak-kanak meraikan aktiviti yang tidak dapat dikecapi sepanjang dua tahun lalu.

"Sebagai peruncit kelahiran negara ini, tugas kami bukan saja menyokong rakyat Malaysia dengan janji 'Sentiasa Harga Rendah' tetapi juga mempromosi program yang memberi impak positif terhadap masyarakat.

"Kami berharap sumbangan ini akan menceriakan kanak-kanak ini dan menginspirasikan mereka supaya aktif," katanya.

Kumpulan MR DIY (M) Berhad, adalah syarikat tempatan dengan lebih 1,000 cawangan seluruh negara membabitkan tiga jenama (MR DIY, MR DOLLAR dan MR TOY), termasuk cawangan di Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 7:05 AM