GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) merangkul anugerah berprestij Brand of the Year 2020, pengiktirafan jenama peringkat antarabangsa terulung di World Branding Awards yang berlangsung di London baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, anugerah itu mencerminkan kerjasama 35,000 warga kerjanya yang sentiasa gigih memberikan perkhidmatan terbaik kepada hampir 10 juta pelanggan TNB.

"Berbekalkan semangat kerjasama dan dedikasi semua warga kerja TNB, kami sekali lagi berjaya memenangi kepercayaan pelanggan menerusi pengalaman pelanggan dan jenama yang terbaik.

"Kami akan terus menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan pelanggan bagi mendengar setiap keluhan mereka dan memastikan ia ditangani dengan baik.

"Kami juga akan terus mengukuhkan hubungan dengan semua pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syarikat utiliti elektrik nasional itu adalah satu-satunya jenama yang menerima pengiktirafan terbabit bagi kategori anugerah tenaga di Malaysia.

TNB juga memenangi anugerah sama pada 2014, 2018 dan 2019.

Lebih 400 jenama dari lebih 45 negara menerima pengiktirafan "Brand of the Year" di World Branding Awards 2020-2021.

World Branding Awards adalah program anugerah ulung anjuran World Branding Forum, organisasi bukan berasaskan keuntungan antarabangsa yang berpangkalan di London.

Anugerah itu mengiktiraf pencapaian inovatif dan kreatif pelbagai jenama yang kekal unik dan relevan kepada pelanggan mereka sepanjang tahun lalu.

Penerima anugerah dinilai dari tiga aspek termasuk penilaian jenama (30 peratus), penyelidikan pasaran pelanggan (40 peratus) dan undian awam secara secara maya (30 peratus).

Undian dan pencalonan dilakukan semasa pendemik Covid-19 melanda dunia ketika mereka berdepan dengan pelbagai kekangan yang memberi impak besar terhadap landskap ekonomi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 1:27 PM