Baharin Din
Baharin Din
BERNAMA

Kuala Lumpur: Syarikat tenaga terkemuka Malaysia, Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited kepada peralihan tenaga yang pantas dan bertanggungjawab, akan menggantikan 30 peratus daripada kenderaan operasinya kepada kenderaan elektrik (EV) menjelang 2030, berjumlah lebih 1,000 kenderaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Baharin Din berkata, langkah strategik ini selari dengan aspirasi Malaysia neutral karbon menjelang 2050.

"Dalam langkah penting ke arah merealisasikan komitmen ini, TNB mempercepatkan peralihan kepada EV dengan menggunakan 98 unit baharu merangkumi 78 trak pikap elektrik dan 20 van elektrik.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan EV dalam kumpulan kenderaan operasi TNB kepada 127 kenderaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baharin berkata, komitmen besar ini menyumbang secara signifikan kepada sasaran kerajaan untuk mencapai 20 peratus jualan EV menjelang 2030, selaras dengan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) 2020.

Katanya peralihan kepada EV oleh TNB diunjurkan menghasilkan pengurangan tahunan sebanyak 2,200 hingga 4,833 tan karbon dioksida, bersamaan dengan kira-kira 88,000 hingga 193,320 pokok sebagai pengimbang menjelang 2030.

"Manfaat ekonomi daripada inisiatif penggunaan EV oleh TNB adalah besar, dengan jangkaan penjimatan kos antara 35 peratus dan 86 peratus untuk pembaikan dan penyelenggaraan serta 25 peratus hingga 70 peratus kos tenaga lebih rendah berbanding kenderaan bahan api fosil konvensional.

"TNB turut menjangka pengimbangan tahunan kira-kira enam peratus hingga 12 peratus dalam perbelanjaan bahan api fosil," katanya.

Baharin berkata, TNB bukan sahaja berdedikasi untuk mempercepatkan penggunaan EV menjelang 2030 tetapi juga memberi tumpuan kepada peningkatan semula kemahiran untuk industri EV, membina infrastruktur pengecasan, menaja kajian berkaitan EV dan memupuk kerjasama dalam kalangan pemain sektor EV.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 3:58 PM