Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kira-kira 63 peratus ketua pegawai eksekutif (CEO) di rantau Asia Pasifik menjangkakan kemelesetan ekonomi dalam tempoh 12 bulan akan datang, namun lebih separuh (55 peratus) menjangkakan ia adalah sederhana dan singkat, kata KPMG International Ltd.

KPMG dalam edisi ke-8 CEO Outlook berkata kira-kira 58 peratus daripada mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengharungi cabaran yang akan datang.

Tinjauan itu, yang dijalankan dalam kalangan 1,325 CEO antara 12 Julai dan 21 Ogos 2022, memberikan pandangan yang unik tentang pemikiran, strategi dan taktik perancangan mereka.

Ia juga mendedahkan bahawa 73 peratus daripada CEO yakin dengan daya tahan syarikat mereka dalam mengharungi tempoh enam bulan akan datang, dengan tahap keyakinan yang sama (71 peratus) dalam daya tahan negara mereka.

"Sebagai tindak balas kepada kemelesetan yang dijangkakan dalam tempoh enam bulan akan datang, CEO merancang untuk membekukan pengambilan pekerja (44 peratus), mengurus kos dengan meningkatkan harga (43 peratus) dan mengurangkan margin keuntungan (40 peratus).

"Lebih membimbangkan, 29 peratus CEO di Asia Pasifik dilaporkan telah menangguhkan atau mempertimbangkan semula pelaksanaan usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sedia ada mereka manakala 47 peratus merancang untuk berbuat demikian dalam beberapa bulan akan datang," katanya.

KPMG berkata terdapat juga kemungkinan bahawa CEO mungkin perlu mencari sumber modal alternatif untuk meningkatkan peluang mereka untuk memperoleh pembiayaan semula.

"Tidak menghairankan, 70 peratus daripada mereka melihat ketersediaan modal untuk pelaburan baharu (dan kekurangannya) akan memberi kesan kepada organisasi mereka.

"Bagaimanapun, 61 peratus menyatakan bahawa mereka meletakkan lebih banyak pelaburan modal dalam membeli teknologi baharu, manakala 65 peratus menganggap perkongsian baharu akan menjadi penting untuk meneruskan rentak transformasi digital mereka," kata KPMG, sebuah organisasi global firma perkhidmatan profesional bebas yang menyediakan perkhidmatan audit, cukai dan nasihat.

Pengarah Urusan KPMG Malaysia Datuk Johan Idris berkata ketika kerajaan di Malaysia dan di seluruh dunia sedang bergelut dengan inflasi yang lebih tinggi dengan kenaikan kadar faedah yang besar, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai krisis kecairan global.

"Ini bermakna syarikat akan mendapati semakin sukar untuk memperoleh pembiayaan semula atau melancarkan hutang kerana bank, dalam menjangkakan kemelesetan, menjadi lebih berhati-hati dalam pemberian pinjaman mereka.

"Selain itu, apabila kecairan semakin berkurangan dan kemelesetan berlaku, industri yang sudah tidak mendapat kemudahan daripada bank kerana keutamaan ESG mereka mungkin sukar mendapati sebarang bentuk pembiayaan baharu, sekali gus mencetuskan isu modal yang memerlukan perancangan rapi," katanya katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 10:38 AM