ABDUL Farid
ABDUL Farid
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Malayan Banking Berhad (Maybank), kumpulan perbankan terbesar tempatan mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2017 sebanyak 16.5 peratus kepada RM2.25 bilion daripada RM1.93 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu berikutan prestasi perkhidmatan kewangan komuniti kumpulan berkenaan yang positif termasuk segmen takaful dan insurans.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Abdul Farid Alias berkata, keuntungan sebelum cukai perkhidmatan kewangan komuniti kumpulan itu naik 21.2 peratus kepada RM1.21 bilion daripada RM995.3 juta sebelum ini berdasarkan pendapatan faedah bersih dan hasil operasi lain yang lebih tinggi.

Katanya, pertumbuhan berterusan dalam perolehan kumpulan mencerminkan keupayaan Maybank untuk menghadapi cabaran dan berkembang ekoran kepelbagaian operasi.

“Walaupun kami berhasrat untuk meningkatkan momentum dalam suku akan datang, namun kami juga berhati-hati terhadap kesan yang bakal dihadapai pelanggan jika ada perubahan dalam persekitaran operasi dan menyokong mereka secara aktif dalam menguruskan risiko mereka.

“Pada masa sama, tumpuan kami kekal terhadap meningkatkan produktiviti kakitangan, menguruskan kos secara berkesan dan mengukuhkan kecairan dan kedudukan modal bagi kelestarian prestasi pada masa akan datang,” katanya.

Keuntungan sebelum cukai takaful dan insurans kelompok juga naik 54.2 peratus kepada RM176.7 juta daripada RM114.6 juta, disumbangkan pendapatan faedah bersih dan premium insurans bersih yang lebih tinggi serta elaun yang tinggi bagi kerugian susut nilai ke atas pelaburan kewangan.

Manakala pendapatan Maybank juga meningkat kepada RM11.28 bilion daripada RM11.18 bilion.

Pinjaman kasar bertambah sebanyak 10.1 peratus, dirangsang oleh perkhidmatan kewangan komuniti kumpulan perbankan global dan deposit juga meningkat 4.5 peratus kepada RM513.4 bilion.

Kumpulan perbankan itu berkata, keutamaan utamanya bagi 2017 ialah mengukuhkan pendapatan pemacu dengan memberi fokus kepada peluang yang merentasi pelbagai segmen pengguna dan pinjaman korporat selain menguasai peluang yang wujud di rantau ini melalui francais Maybank Kim Eng, Etiqa serta Maybank Islamic.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 12:39 AM