TENGKU Zafrul di 'The Cooler Earth Sustainability Summit 2022' anjuran CIMB Group. FOTO BERNAMA
TENGKU Zafrul di 'The Cooler Earth Sustainability Summit 2022' anjuran CIMB Group. FOTO BERNAMA
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memastikan pelaksanaan dasar peralihan tenaga hijau yang lebih adil bagi memastikan pekerjaan rakyat terutama dalam industri berintensifkan karbon tidak terjejas, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan Asia Tenggara berpotensi berdepan kehilangan pekerjaan setengah juta dalam bahan api fosil menjelang 2050, namun pada masa sama ia berpotensi mewujudkan lima juta pekerjaan dalam tenaga boleh diperbaharui (RE).

Katanya, peralihan kepada agenda hijau perlu dilakukan secara beransur-ansur kerana perubahan pantas berpotensi membawa kesan limpahan negatif seperti kehilangan pekerjaan, justeru adalah penting untuk memastikan pekerjaan tidak terkesan oleh peralihan kepada tenaga hijau.

"Kehilangan pekerjaan akibat peralihan ekonomi yang lebih hijau akan mempunyai kesan ketara kepada pasaran pekerjaan.

"Justeru, kerajaan perlu melaksanakan dasar peralihan yang adil untuk populasi yang terkesan," katanya pada sesi panel bertajuk Accelerating Climate Action & Justice pada The Cooler Earth Sustainability Summit 2022 dianjurkan CIMB Group di sini, semalam.

Tengku Zafrul berkata, peserta industri berintensifkan karbon di Malaysia sudah mengambil langkah agenda peralihan tenaga hijau.

Beliau berkata, Petronas dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) menunjukkan komitmen mereka dengan menukar model perniagaan kepada tenaga lebih hijau.

Katanya, syarikat minyak dan gas nasional baru-baru ini melancarkan Gentari Sdn Bhd (Gentari), entiti penyedia penyelesaian tenaga bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 7:46 AM