Cabang penyelesaian tenaga bersih Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Gentari Sdn Bhd berminat untuk mengembangkan jejaknya dalam penyelesaian tenaga bersih di India melalui tiga tawaran terasnya pada masa ini iaitu tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau.

Syarikat itu berkata, India adalah pasaran pertumbuhan yang penting untuk Gentari dan pelaburannya dalam projek-projek tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen di negara itu adalah kesinambungan kepada memorandum persefahaman yang ditandatangani dengan pelbagai kerajaan negeri.

"Di Tamil Nadu, kami telah memeterai memorandum persefahaman dengan kerajaan negeri untuk menjalankan kajian kemungkinan ke atas pengeluaran hidrogen hijau. Kami akan mengumumkan kemajuan pelaburan-pelaburan ini dalam masa terdekat," kata Gentari kepada Bernama sebagai respons kepada laporan baru-baru ini bahawa Petronas akan melabur 340 bilion rupee (RM18.7 bilion) dalam projek-projek di negeri Tamil Nadu, selatan India.

Menurut laporan media India, syarikat minyak negara berhasrat untuk menubuhkan loji hidrogen dan ammonia hijau dan projeknya telah mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Ia merupakan satu daripada lima cadangan pelaburan daripada syarikat India dan asing yang diluluskan pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh ketua menteri M.K. Stalin di Chennai, kata laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 7:01 AM