Ngai Yuen (tengah) di pelancaran program Real Beauty. FOTO NSTP
Ngai Yuen (tengah) di pelancaran program Real Beauty. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Aeon Malaysia komited menyediakan peluang pemasaran kepada pengeluar produk kosmetik dan kecantikan tempatan menerusi segmen Real Beauty yang mendekatkan lagi produk usahawan secara langsung kepada konsumer.

Ketua Barang Dagangan dan Pegawai Pemasaran Aeon Malaysia, Low Ngai Yuen berkata, pihaknya julung kali menganjurkan program Real Beauty, rancangan realiti seumpamanya antara pusat beli-belah dan usahawan tempatan yang boleh ditonton melalui saluran YouTube.

Katanya, cara pemasaran ditampilkan Aeon Malaysia melalui Real Beauty ini berbeza dan ia lebih mendekati pengguna dan pelanggan.

"Daripada lebih 30 jenama, kami sudah memilih lapan jenama produk kecantikan dan kosmetik memasuki pusingan akhir program Real Beauty ini yang akan berdepan dengan pelbagai cabaran diberikan.

"Apabila lapan jenama ini mengharungi semua cabaran dan mereka yang paling menyerlah ditawar kontrak dua tahun dengan Aeon Malaysia di mana kita jual produk mereka di kebanyakan stor terpilih dan beri peluang mendapat suntikan pelaburan mengembangkan perniagaan.

"Mengenai dana, kami memperuntukkan dana cukup besar dari segi pemasaran untuk memperkenalkan jenama tempatan ini kepada orang ramai," katanya selepas pelancaran program Real Beauty.

Yuen berkata, pihaknya akan memperbanyakkan lagi jenama tempatan di segmen Real Beauty terutama jenama yang sudah bertahun-tahun berada di pasaran tetapi belum pernah mendapat peluang pemasaran secara komprehensif.

Menurutnya, episod pertama program Real Beauty boleh ditonton secara langsung melalui saluran YouTube bermula 24 Ogos ini.

Produk Real Beauty terdiri daripada wangian, penjagaan kulit, badan dan rambut serta kosmetik setakat ini boleh didapati di beberapa cawangan terpilih antaranya, Aeon Taman Maluri Shopping Centre (Kuala Lumpur) dan Aeon Mall Tebrau City (Tebrau, Johor).

Aeon Mall Nilai (Negeri Sembilan), Aeon Mall Kinta City (Perak), Aeon Mall Queensbay (Pulau Pinang), Aeon Mall Kuching Central (Sarawak), Aeon Ipoh Falim (Perak), Aeon Alpha Angle Wangsa Maju dan Aeon Mall Bandar Dato Onn (Johor).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 7:30 AM