ADRIAN gembira dengan prestasi mantap pasukan dan keputusan yang diperoleh.
ADRIAN gembira dengan prestasi mantap pasukan dan keputusan yang diperoleh.

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih Mr DIY Group (M) Bhd pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 melonjak kepada RM135.19 juta berbanding RM82.13 juta manakala perolehan naik 38 peratus dari tahun ke tahun kepada RM1.05 bilion daripada RM759.8 juta yang dicatatkan sebelum ini.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia mengaitkan keuntungan bersih serta perolehan yang lebih tinggi kepada peningkatan jumlah urus niaga yang menokok 35 peratus dari tahun ke tahun kepada RM36.1 juta selain sumbangan daripada cawangan baharu yang bertambah sebanyak 20.1 peratus dari tahun ke tahun iaitu daripada 827 kepada 993 cawangan.

"Lonjakan dalam perolehan ini juga konsisten dengan keadaan negara yang mula memasuki peralihan ke fasa endemik pada 1 April lalu sehingga membawa kepada pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, normalisasi perbelanjaan pengguna dan tahap perbelanjaan yang lebih tinggi disebabkan oleh musim perayaan," kata peruncit barangan pembaikan rumah itu.

Kenaikan dari tahun ke tahun ini juga telah mengambil kira penutupan sementara beberapa cawangan yang berlaku pada suku yang sama tahun sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MR DIY, Adrian Ong berkata, era pascapandemik telah ditakrifkan oleh banyak perubahan dalam perniagaan runcit dan tingkah laku pelanggan.

"Dengan rangkaian hampir 1,000 kedai, ia menjadi semakin penting untuk kami membaca tanda-tanda dengan cepat dan untuk menukar pandangan yang kami peroleh daripada penggunaan data dengan tindakan tegas.

"Ini membolehkan kami memanfaatkan sepenuhnya peluang dan menarik balik apabila pasaran perlahan, seperti yang kadang-kadang akan berlaku.

"Sebagai sebuah pasukan pengurusan, kami telah memberi tumpuan untuk mengurus keadaan berkala ini, dan usaha kami telah membuahkan hasil," katanya.

Menurutnya, pihaknya gembira dengan prestasi mantap pasukan dan keputusan yang diperoleh dalam tempoh itu.

"Kami merekodkan peningkatan dalam jualan yang setanding merentas semua jenama kami, mewakili penambahbaikan daripada suku tahun sebelumnya.

"Kami terus membuat kemajuan yang ketara dalam inisiatif strategik utama lain, termasuk membuka 46 kedai baharu pada suku tersebut dan berada di landasan untuk mencapai sasaran sebanyak 180 kedai baharu sepanjang tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 7:00 AM