CHIN (kanan) bersama duta MR DIY Adibah Noor pada majlis pelancaran platform e-dagang syarikat, semalam.
CHIN (kanan) bersama duta MR DIY Adibah Noor pada majlis pelancaran platform e-dagang syarikat, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur :MR DIY Trading Sdn Bhd (MR DIY), pengendali kedai barangan perkakasan rumah merancang membuka 500 cawangan jenama itu di Malaysia menjelang hujung tahun ini berbanding 415 cawangan pada masa ini.

Ketua Pemasarannya Andy Chin berkata, syarikat membuka 15 cawangan terbaru tahun ini dan menjangka menambah 70 lagi dalam usaha mencapai sasaran terbabit.

“Secara keseluruhan, kami menyasarkan pembukaan 135 cawangan sehingga hujung tahun ini di Malaysia bagi mengukuhkan kedudukan syarikat di pasaran negara ini,” katanya pada pelancaran platform e-dagang MR DIY di sini, semalam.

Pada masa ini, syarikat berpangkalan di Malaysia itu memiliki lebih 550 cawangan di Asia Pasifik membabitkan Malaysia (415 cawangan), Thailand (100), Brunei (4) dan Indonesia (31).

Beliau berkata, syarikat merancang membuka tambahan 300 cawangan baru di negara terbabit dan menyusun strategi memperluaskan pasaran di Singapura (satu cawangan) pada suku ketiga dan Filipina (10 cawangan) pada suku keempat tahun ini.

“Tahun 2018 akan menjadi tahun yang baik untuk kami dengan empat matlamat utama ditetapkan iaitu pembukaan gedung perdana pertama MR DIY yang dibuka Mac lalu, penerokaan pasaran Singapura dan Filipina, pembukaan 300 cawangan baru serantau dan pelancaran platform e-dagang MR DIY,” katanya.

MR DIY melancarkan platform e-dagangnya iaitu mrdiy.com.my bagi memberi kemudahan kepada orang ramai melakukan pembelian secara dalam talian sekali gus membantu menjimatkan masa dan kos.

Andy berkata, platform itu menawarkan empat ciri utama yang dijangka mampu menarik perhatian pengguna iaitu penghantaran percuma MR DIY Express, Collect@MR DIY dan Jaminan MR DIY.

“Pelanggan boleh menikmati penghantaran percuma di Semenanjung Malaysia tanpa belanja minimum bagi sebarang pesanan di bawah lima kilogram dan meminta perkhidmatan MR DIY Express dengan sedikit bayaran bagi membolehkan pembelian mereka dihantar dalam 24 jam.

“Pelanggan juga boleh membeli barangan secara dalam talian dan mengambil dari 25 kedai MR DIY terpilih di Lembah Klang melalui Collect@MR DIY dan menikmati Jaminan MR DIY,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 9:26 AM