KETUA Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ts Dr Mohd Muzzammil Ismail.
KETUA Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ts Dr Mohd Muzzammil Ismail.

Kuala Lumpur: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dan Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AFPM) menandatangani Memorandum Persefahaman bertujuan menambah bilangan pakar Bumiputera dalam bidang perubatan keluarga.

Kerjasama yang dimeterai bagi tempoh tiga tahun itu akan membolehkan pengamal am atau pegawai perubatan Bumiputera bertaraf tetap atau kontrak untuk mendaftar dalam program Latihan Lanjutan dalam perubatan keluarga AFPM dengan pembiayaan separa oleh Yayasan Peneraju.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ts Dr Mohd Muzzammil Ismail berkata, selepas tamat program, peserta berpeluang untuk menjadi doktor keluarga atau pakar perubatan keluarga berdaftar melalui Daftar Pakar Kebangsaan (NSR).

"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan AFPM selaras dengan usaha kami membantu menambah baik akses penjagaan kesihatan di negara ini.

"Dengan pertumbuhan populasi yang pesat dan kadar peningkatan kadar penyakit, kami percaya terdapat keperluan untuk meningkatkan lagi kualiti penyampaian penjagaan kesihatan.

"Oleh sebab itu, kami berharap jalinan kerjasama ini dapat menyokong inisiatif kami untuk menambah bilangan pakar perubatan keluarga, seterusnya mengukuhkan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan (2016 - 2020)," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, bantuan kewangan yang disediakan oleh Yayasan Peneraju merangkumi bantuan kewangan permulaan sekali beri serta yuran pengajian dan peperiksaan/profesional (secara pembayaran balik) selepas lulus setiap peperiksaan.

Penajaan itu adalah sebahagian daripada program pembiayaan Peneraju Spesialis bertujuan meningkatkan akses pembiayaan kepada Bumiputera untuk menjadi pakar penjagaan kesihatan yang kompeten.

"Pada ahun ini, kami menyasarkan seramai 150 peserta untuk semua program di bawah teras baharu ini.

"Kami melihat program ini sebagai inisiatif penting yang amat diperlukan untuk menangani isu kekurangan pakar perubatan keluarga di negara ini dan pada masa sama meningkatkan tahap penjagaan dalam amalan perubatan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 7:10 AM