GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Penyedia e-dompet tempatan, Boost menyediakan perkhidmatan melihat dan membayar bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) secara terus menerusi aplikasi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, pihaknya berbesar hati apabila TNB kini menjadi antara 50 senarai pengebil di aplikasi Boost.

Katanya, Boost sentiasa bekerja keras untuk menjadikan aplikasi itu sebagai keperluan harian yang penting dengan memberi penyelesaian yang mudah dan bermakna kepada pengguna.

"Pembayaran bil adalah ciri paling popular di Boost, justeru kami menyahut permintaan pengguna supaya memasukkan TNB ke dalam senarai pengebil sekali gus melengkapkan kategori utiliti utama dalam aplikasi kami.

"Kini, pengguna boleh mengurus dan membayar semua bil utiliti utama mereka dan yang lain dengan mudah dalam satu platform.

"Ini akan memudahkan lagi dan menambah nilai kepada gaya hidup digital masyarakat Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sheyantha berkata, penambahan baharu kepada BoostBills itu akan memberi manfaat kepada lebih sembilan juta pengguna TNB di Malaysia, serta 9.5 juta pengguna Boost.

Menariknya, beliau berkata, mulai sekarang hingga 28 Februari 2022, pengguna yang menggunakan Boost untuk membayar bil TNB boleh menikmati ganjaran bernilai sehingga RM20.

Katanya, pulangan tunai RM10 yang pertama akan dibahagikan kepada RM5 pada setiap satu dalam tempoh dua bulan.

"Pengguna baharu Boost pula, akan mendapat tambahan diskaun segera sebanyak RM10 melalui Welcome Pack apabila mereka mendaftar dengan Boost buat kali pertama.

"Dengan itu, pengguna baharu dapat menikmati potongan berjumlah RM20 daripada bil TNB mereka," katanya.

Sheyantha berkata, baru-baru ini, Boost turut melancarkan tiga ciri pembayaran bil baharu iaitu ViewBills, AutoBills, dan MultiBills yang menawar pengguna solusi tanpa rumit untuk membuat pembayaran.

Katanya, ViewBills adalah ciri yang membolehkan pengguna melihat baki bil tertunggak dan tarikh akhir mereka perlu membayar bil secara terus menerusi aplikasi Boost.

"AutoBills pula membolehkan pengguna menetapkan pembayaran berjadual berkala secara automatik, manakala MultiBills pula, membolehkan pengguna menggabung dan membayar pelbagai bil sekali gus," katanya.

Oleh itu katanya, Boost menyarankan kepada pengguna untuk menggunakan ViewBills dan AutoBills sekali gus apabila membayar bil supaya pengguna dapat menggunakan ciri-ciri ini sebaik mungkin.

"Selain itu ia juga membolehkan pengguna untuk membayar bil tertunggak yang terkini secara automatik mengikut tarikh akhir.

"Dengan menggabungkan ciri-ciri ini, ia membuatkan pembayaran bil menjadi satu proses yang lancar pada setiap bulan.

"Boost turut menyediakan fungsi Bill Reminder sebagai peringatan kepada pengguna supaya tidak terlupa membayar bil," katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti saluran media sosial rasmi Boost di Facebook (facebook.com/myboostapp) dan Instagram (instagram.com/myboostapp) atau di laman web, www.myboost.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 11:40 AM