Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO NSTP
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - FOTO NSTP
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Sekiranya perlu diperkenalkan semula, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak mungkin akan dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sekiranya kerajaan berhasrat memperkenalkan semula GST, penambahbaikan akan dibuat dari aspek kecekapan proses bayaran balik, mengelakkan kekeliruan dalam pengkelasan barang yang bercukai dengan tidak bercukai, peningkatan tahap kemahiran pegawai kerajaan, tahap pematuhan peniaga dan tadbir urus keseluruhan GST.

"Sebarang sistem percukaian baharu juga perlu diluluskan di Parlimen dan jika ambil kira

keperluan libat urus bersama rakyat serta untuk menambahbaik sistem sedia ada, tidak mungkin GST akan dilaksanakan pada tahun ini," katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat ke-98 yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, 175 negara atau sekitar 90 peratus negara di seluruh dunia telah memperkenalkan cukai

kepenggunaan (Value-Added Tax atau VAT) yang lebih efisien, telus dan mampu mencegah ketirisan kutipan hasil, kerana ia merupakan satu sistem yang lebih efisien dan telus.

Katanya, pada tahun 2021, jumlah kutipan hasil negara mencatat 15.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), dan ini adalah agak rendah berbanding kutipan hasil negara lain sebagai contoh Singapura (18.9 peratus), Thailand (17.7 peratus) dan Filipina (15.5 peratus).

Bagi hasil cukai negara, ia telah mencatat 11.2 peratus daripada KDNK.

"Oleh itu, kerajaan perlu meneliti usaha untuk meluaskan asas hasil supaya hasil dapat diagihkan dengan lebih bermakna melalui program pembangunan yang bermanfaat untuk seluruh Keluarga Malaysia.

"Walaupun buat masa ini Malaysia mendapat manfaat dari peningkatan harga komoditi global, hasil berkaitan komoditi tidak mampan kerana bergantung kepada pergerakan harga pasaran global.

"Ia tidak mampu menampung sepenuhnya peningkatan perbelanjaan yang diperlukan untuk kesejahteraan rakyat.

"Oleh yang demikian, kerajaan perlu meneroka sumber hasil yang stabil dan lebih meluas seperti cukai kepenggunaan," katanya.

Bagaimanapun katanya, sebelum kerajaan memperkenalkan apa-apa cukai baharu, kita perlu memastikan pemulihan ekonomi pasca krisis Covid-19 sudah mencapai landasan yang stabil dan kukuh.

"Ia selaras dengan apa yang telah dimaklumkan oleh

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa cadangan pengembalian GST masih di peringkat kajian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 4:41 PM