Tengku Zafrulbercakap pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2023. FOTO Bernama
Tengku Zafrulbercakap pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2023. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Cadangan pengurangan cukai yang diumumkan dalam Bajet 2023 tidak dinafikan memberi kesan terhadap hasil kerajaan, namun pada masa sama ini turut menyuntik impak pengganda yang positif ke atas ekonomi negara.

Ketika menegaskan perkara tersebut, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini termasuk wujudnya lebihan pendapatan yang akan menggalakkan rakyat berbelanja susulan pengurangan cukai terbabit.

"Memang pengurangan cukai ini akan memberi sedikit kesan (terhadap hasil) tetapi jumlah wang yang sebaliknya disalurkan semula ke dalam ekonomi dijangka dapat memberi impak pengganda, terutama potongan cukai ke atas kumpulan berpendapatan sederhana atau M40," katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan mengenai rasional cadangan pengurangan cukai tersebut di tengah-tengah jangkaan penurunan hasil kerajaan Persekutuan sebanyak 4.4 peratus bagi 2023.

Keadaan itu berkemungkinan menyaksikan penyusutan sebanyak RM272.6 bilion atau 15 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) ke atas tabungan kerajaan Persekutuan berikutan kutipan hasil bukan cukai yang lebih rendah.

Antara cadangan potongan cukai yang diumumkan dalam Bajet 2023 itu adalah kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara lebih RM50,000 dan RM100,000 setahun.

Tengku Zafrul berkata, bagi banjaran pendapatan bercukai lebih RM50,000 hingga RM70,000, kadarnya diturunkan daripada 13 peratus kepada 11 peratus manakala banjaran pendapatan bercukai lebih RM70,000 hingga RM100,000 pula melibatkan kadar yang diturunkan kepada 19 peratus daripada 21 peratus.

Selain itu, banjaran pendapatan bercukai lebih RM250,000 hingga RM400,000 akan digabungkan dengan banjaran lebih RM400,000 hingga RM600,000 dengan kadar cukai dikenakan sebanyak 25 peratus.

Beliau berkata, layanan khas cukai pendapatan ini akan menyaksikan penjimatan cukai bagi M40 adalah sehingga RM1,000 dan kumpulan berpendapatan tinggi (T20) adalah sehingga RM250.

"Ini bermakna, dianggarkan RM800 juta tersedia sebagai lebihan pendapatan yang boleh dibelanjakan oleh rakyat," katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Tengku Zafrul berkata perbincangan mengenainya masih banyak bergantung kepada ekonomi negara pada 2023.

Mengenai pembayaran dividen oleh Petronas kepada kerajaan, beliau berkata jumlah itu dijangka menyamai 2022 iaitu RM50 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 10:51 PM