MAHMUD (berdiri empat dari kiri) dan Exco Perumahan dan Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail (berdiri tengah) bersama penerima kunci pada Majlis Serah Kunci 864 unit Residensi Idaman Selangorku PKNS.
MAHMUD (berdiri empat dari kiri) dan Exco Perumahan dan Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail (berdiri tengah) bersama penerima kunci pada Majlis Serah Kunci 864 unit Residensi Idaman Selangorku PKNS.

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bercadang mewujudkan sebuah yayasan perumahan bagi membantu rakyat kurang berkemampuan memiliki rumah, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mahmud Abas.

Beliau berkata, konsep yayasan itu adalah menampung sebahagian daripada harga sesebuah rumah dan yayasan akan mempunyai hak milik sebanyak 50 peratus terhadap rumah itu.

"Contohnya, harga rumah adalah RM300,000, tapi dapat pinjaman bank RM150,000 sahaja, jadi yayasan akan bantu untuk tampung RM150,000 dan (PKNS) akan ada 50 peratus pegangan hak milik dalam rumah itu," katanya selepas majlis penyerahan kunci kepada pemilik unit Residensi Idaman Selangorku PKNS di Selangor Cyber Valley di sini, kelmarin.

Beliau berkata, konsep yayasan itu dipraktikkan di England dan PKNS akan menghantar kakitangannya ke negara itu bagi membolehkan mereka mengetahui selok-belok perundangan berkaitan yayasan perumahan.

"Formulasi dan cadangan berkaitan kini masih di peringkat PKNS sebelum dibentang kepada lembaga pengarahnya dan selepas dimuktamadkan, ia akan dimajukan kepada kerajaan Selangor bagi proses seterusnya," katanya.

Beliau berkata, usaha untuk mewujudkan yayasan sedemikian bukan perkara mudah memandangkan ia perlu melalui banyak proses termasuk perihal undang-undang selain memastikan dananya tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Katakan pemilik rumah itu nanti buat pengubahsuaian rumah, nanti harga rumah naikā€¦ataupun pemilik berhasrat untuk menjual rumah itu, bagaimana dengan yayasan nanti. Kita perlu ada modal bagi kitaran dana bagi membolehkan lebih ramai dapat memiliki rumah impian," katanya.

Mengenai Residensi Idaman Selangorku, beliau berkata, ia projek PKNS untuk menyokong Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) bagi menyelesaikan isu kemampuan rakyat membeli rumah.

Dengan keluasan 1,000 kaki persegi, setiap unit rumah pangsapuri itu dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua tempat letak kereta serta ditawarkan pada harga RM232,000.

Mahmud berkata, Residensi Idaman Selangorku yang dibangunkan dengan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) itu mempunyai 864 rumah dengan empat unit khas bagi golongan orang kurang upaya (OKU) dan semua unit itu habis dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 7:00 AM