ORANG ramai melihat pelan projek rumah idaman PKNS Seksyen 9, Kota Puteri, Kuala Selangor pada majlis pelancaran dan pendaftaran, semalam.
ORANG ramai melihat pelan projek rumah idaman PKNS Seksyen 9, Kota Puteri, Kuala Selangor pada majlis pelancaran dan pendaftaran, semalam.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Selangor: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus komited membina rumah mampu milik apabila 4,471 unit Rumah Selangorku Idaman PKNS dibina di Kota Puteri dan siap sepenuhnya pada 2023.

Pengurus Besar PKNS Azlan Md Alifiah berkata, projek berkenaan dibangunkan mengikut fasa memulakan pembinaan tahun depan dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau, dewan serba guna, pusat komuniti serta taman permainan.

Katanya, selain pangsapuri, PKNS menawarkan rumah teres dua tingkat yang jarang ditawarkan pemaju lain untuk rumah mampu milik.

Beliau berkata, projek perumahan di Kota Puteri membabitkan tiga fasa yang mana fasa pertama akan mula dibina tahun depan dan dijangka siap pada 2019.

“Bagi fasa kedua, pembangunan di kawasan berkenaan bermula 2018 dan dijangka siap pada 2021 manakala fasa terakhir akan dibangunkan pada 2020 dan siap sepenuhnya pada 2023.

“Bagi projek berkenaan, PKNS membina rumah berstrata tinggi dan rumah teres dua tingkat dengan harga bermula RM42,000 hingga RM250,000 seunit,” katanya pada Majlis Pelancaran Rumah Selangorku Idaman PKNS Kota Puteri di sini, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Turut hadir, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Datuk Iskandar Abdul Samad.

Untuk pendaftaran boleh layari laman http://ehartanah.lphs.gov.my atau hubungi 1800-88-7567 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 5:07 AM