Datuk Iskandar Mizal Mahmood.
Datuk Iskandar Mizal Mahmood.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Iskandar Mizal Mahmood dilantik sebagai lembaga pengarah serantau Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) Asia Pasifik.

Dalam kenyataan hari ini, MAHB berkata Iskandar akan bersama-sama tiga lagi lembaga pengarah serantau yang baru dilantik untuk tempoh tiga tahun, bermula Jun 2022.

Mengulas mengenai pelantikannya, Iskandar berkata perjalanan udara kembali memberangsangkan berikutan kebanyakan negara telah mula membuka sempadan masing-masing.

"Pengendali lapangan terbang di peringkat global termasuk MAHB sedang membuat persediaan untuk memastikan kami bersedia menawarkan pengalaman lapangan terbang terbaik kepada pelanggan. Saya berharap dapat memberi sumbangan bersama-sama lembaga pengarah lain dalam menyokong dasar yang akan mengukuhkan keupayaan kami untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada para pemegang saham," katanya.

Lembaga pengarah ACI rantau Asia Pasifik adalah badan pentadbir yang menentukan strategi pembangunan keseluruhan ACI rantau Asia Pasifik untuk menggalakkan kecemerlangan pengurusan dan operasi lapangan terbang.

Ia dianggotai 27 pemimpin perniagaan penerbangan di seluruh rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah.

ACI adalah satu-satunya organisasi lapangan terbang antarabangsa yang menyediakan platform kepada organisasi ahli untuk menyampaikan serta meningkatkan kepentingan kolektif kira-kira 2,000 lapangan terbang di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 1:21 PM