DATUK Acis.
DATUK Acis.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penganjuran konsert Malaysia Live! secara dalam talian pada 22 dan 29 Januari ini dijangka dapat membantu penggiat industri muzik menjana pendapatan yang terjejas akibat penularan Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Antara penyanyi yang terbabit dalam siri pertama konsert yang bermula jam 9 malam itu ialah Aizat Amdan, Dayang Nurfaizah, DOLLA, Hael Husiani, Haqiem Rusli, Jaclyn Victor, Noh Salleh, Yonnyboii dan Zynakal serta dihoskan Nazrudin Rahman.

Siri kedua konsert itu pula menampilkan Faizal Tahir, Ismail Izzani, Kmy Kmo & Luca Sickta, Datuk M Nasir, Ruffedge, Shalma Eliana, Tuju dan Zizi Kirana serta dihoskan, Adibah Noor.

Pengarah muzik konsert berkenaan, Datuk Acis berkata, sebagai seorang yang pendapatannya bergantung kepada industri muzik, penularan pandemik Covid-19 ini cukup memberi kesan kepada penyanyi dan pemuzik tanah air.

 "Industri muzik adalah salah satu industri yang paling terjejas kerana acara-acara 'live' untuk khalayak ramai tidak dibenarkan. Dengan pengurangan atau kehilangan punca pendapatan dari sektor persembahan live yang juga sektor utama pendapatan seseorang artis atau pemuzik, turut menyebabkan ada antara mereka terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menyara hidup serta terpaksa menjual peralatan muzik yang sekian lama menjadi punca pencarian rezeki," katanya.

Acis yang juga anggota kumpulan Gersang berkata, penganjuran Malaysia Live! diharap ia akan memberi ruang untuk semua penyanyi dan pemuzik terkesan untuk mula menjana pendapatan, termasuk bagi peminat muzik menyambung semula keistimewaan menonton acara secara langsung.

Malaysia Live! diterbitkan hasil kerjasama antara syarikat pembekal sistem audio dan cahaya profesional, Gabung Cipta milik Pam Shahril dan Shahril Razak bersama Acis dan penerbit konsert, Jennifer Thompson.

Sementara itu, Jennifer berkata, bukan penggiat industri muzik tidak cuba menyesuaikan diri atau meningkatkan kemahiran untuk mengadaptasikan diri kepada norma baharu tetapi ia perlukan lebih daripada usaha kita sendiri.

'Kadang-kadang ia juga tergantung kepada situasi infrastruktur yang di luar kawalan ataupun corak pemikiran penonton yang mungkin mengambil masa untuk berubah.  Dalam industri hiburan, perubahan adalah lumrah kehidupan tetapi dalam keadaan drastik ini, tentunya ia dalam percubaan untuk menyesuaikan diri, kita masih perlu cari makan dan membayar bil.

"Objektif semestinya adalah untuk mengesyorkan kita tidak kehilangan bakat dan kepakaran industri muzik kita kepada pekerjaan lain. Menjadi harapan, semoga siri konsert ini akan berterusan supaya lebih ramai artis, pemuzik dan tenaga pekerja industri seni dapat membabitkan diri dalam pelaksanaan konsert-konsert lain," katanya.

Bagi Pam Shahril dan Shahril Razak yang berkecimpung 15 tahun dalam industri acara konsert live, mereka sudah berpengalaman dalam mengusahakan beberapa persembahan besar di dalam negara dan serantau.

"Semasa persembahan, orang ramai hanya melihat apa yang berada di atas pentas tetapi usaha yang perlu untuk mengendalikan sesebuah acara membabitkan ratusan daya tenaga pakar dan pekerjaan yang berkaitan termasuk jurutera dan kru.

"Begitu juga dengan lokasi, katering, tiket, keselamatan, syarikat logistik dan ramai lagi yang membentuk sebuah pasukan untuk melaksanakan sebuah konsert dengan berjaya," katanya.

Konsert ini sudah dirakam secara langsung tanpa penoton di KL Live @ Life Centre, di sini, diiringi pemuzik-pemuzik berpengalaman seperti Acis selaku pengarah muzik dan pemain keyboard, Fendi Mokhtar (drum), Jenny Chin (keyboard), Rozhan Rahman (bass), Wan Gigi (gitar), Jamie Wilson (gitar), Steve Thornton (percussion) serta penyanyi latar iaitu Yuaz Bahtiar Kassim, Eja Muhd Nor dan Juanita Ismail.

Konsert ini boleh ditonton di saluran YouTube Malaysia Live.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 3:16 PM