Lim (kiri) dan Zamzamzairani menandatangani plak sebagai tanda perasmian Mercu Maybank.
Lim (kiri) dan Zamzamzairani menandatangani plak sebagai tanda perasmian Mercu Maybank.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Maybank secara rasmi merasmikan bangunan baharunya, Mercu Maybank yang terletak di i-City Shah Alam.

Maybank akan memenuhi 14 tingkat daripada bangunan berkenaan untuk memuatkan sehingga 1,500 kakitangan Maybank yang akan berpindah tidak lama lagi.

Majlis perasmian dihadiri Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa; Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong; dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Farid Alias.

Dalam laporan terdahulu, Maybank berkata, keputusan untuk mendapatkan ruang pejabat di bangunan yang dikenali sebagai Menara Sumurwang itu adalah semata-mata untuk pengurusan kesinambungan perniagaan (BCM) dan perancangan daya tahan bagi memastikan operasi dan penyampaian perkhidmatan Maybank tidak terganggu.

Menara berkenaan yang dinamakan semula sebagai Mercu Maybank, berfungsi sebagai pejabat ganti tetap tambahan untuk menampung keperluan baru cara kerja berikutan pandemik Covid-19 seperti kerja jarak jauh atau hibrid untuk pelbagai acara dan perniagaan Kumpulan.

Tiada cawangan atau pejabat di Lembah Klang akan ditutup selepas operasi dimulakan di menara itu, di mana Menara Maybank yang terletak di Jalan Tun Perak kekal sebagai ibu pejabat.

Bangunan berkenaan adalah komponen utama hab kewangan i-City GT, yang turut meliputi pusat beli-belah Central i-City, Hotel DoubleTree by Hilton i-City, dan Pusat Konvensyen i-City.

Hab kewangan itu akan disambungkan dengan stesen LRT i-City yang dijangka dibuka pada 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 6:47 AM