Kuala Lumpur: Projek pembangunan ultrapolis perdana, i-City Malaysia bakal menjadi kawasan kewangan antarabangsa dan lokasi baharu operasi Malayan Banking Bhd (Maybank).

Firma perbankan itu bakal menempatkan ruang pejabatnya di Menara Sumurwang yang dikenali semula sebagai Mercu Maybank di i-City Malaysia.

I-Bhd, pemaju utama i-City Malaysia berkata, keputusan itu sebahagian daripada pengurusan kesinambungan perniagaan dan perancangan daya tahan Maybank yang berterusan untuk memastikan perniagaan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

"Mercu Maybank berfungsi sebagai antara pejabat gantian kekal bagi memenuhi pengaturan kerja baharu akibat Covid-19 merangkumi pekerjaan hibrid untuk pelbagai fungsi dalam operasi perbankan," katanya dalam kenyataan.

Pengerusi I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, i-City Malaysia adalah penyelesaian ideal di lokasi strategik dengan infrastruktur teknologi terkini yang membolehkan perniagaan berpindah dan beroperasi dengan lancar.

Beliau berkata, lokasi strategik i-City Malaysia antara kekuatan untuk menarik pelaburan baharu dalam industri bernilai tinggi seperti kewangan dan teknologi maklumat.

Katanya kumpulan gembira dengan keputusan pengembangan operasi Maybank secara strategik bersama i-City Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 8:04 AM