Maybank dikatakan akan memindahkan sebahagian operasi ke i-City, Shah Alam.
Maybank dikatakan akan memindahkan sebahagian operasi ke i-City, Shah Alam.
Sharen Kaur


Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank), akan memindahkan sebahagian operasinya ke Menara Sumurwang di i-City Golden Triangle (i-City GT) di Shah Alam.

Maybank akan menyewa 14 tingkat di menara berkenaan dengan keluasan 162,000 kaki persegi, sebagai lokasi pejabat ganti tetap untuk Kumpulan.

Keputusan untuk mendapatkan ruang pejabat di Menara Sumurwang adalah semata-mata untuk pengurusan kesinambungan perniagaan (BCM) dan perancangan daya tahan bagi memastikan operasi dan penyampaian perkhidmatan Maybank tidak terganggu, menurut jurucakap Maybank.

Jurucakap Maybank memaklumkan New Straits Times bahawa menara berkenaan berfungsi sebagai pejabat ganti tetap tambahan untuk menampung keperluan baru cara kerja berikutan pandemik Covid-19 seperti kerja jarak jauh atau hibrid untuk pelbagai acara dan perniagaan Kumpulan.

Pejabat di menara itu boleh memuatkan kira-kira 1,400 kakitangan Maybank menjelang separuh pertama 2022.

Menurut jurucakap berkenaan, Menara Sumurwang akan dinamakan semula sebagai Mercu Maybank selepas menerima kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam selain turut memaparkan logo Maybank di atas bangunan itu.

Maybank akan menyediakan ruang meletak kenderaan untuk kakitangan, perkhidmatan perantara dan pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan kakitangan.

"Berdasarkan pengalaman ketika pandemik Covid-19 dan impak jangka panjangnya, kami mengambil kira keperluan untuk memiliki lokasi pejabat ganti untuk proses BCM bagi memastikan urusan perniagaan berjalan seperti biasa.

"Ini bagi memastikan kesinambungan perniagaan operasi Maybank dalam apa juga keadaan dan membantu pengaktifan segera protokol BCM jika wujud keperluan," katanya.

Menurutnya, tiada cawangan atau pejabat di Lembah Klang akan ditutup rentetan daripada keputusan yang dibuat ini.

Menara Maybank yang terletak di Jalan Tun Perak kekal sebagai ibu pejabat.

Jurucakap itu berkata, meletakkan jarak selamat dari Menara Maybank adalah faktor penting dalam memilih lokasi pejabat ganti itu.

"Bangunan ini (Menara Sumurwang) sangat sesuai untuk menempatkan operasi Maybank berikutan rekaan korporat premium, ciri keselamatan selain pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI), selari dengan komitmen mampan Kumpulan.

"Malah, ia mempunyai ruang yang diperlukan untuk menampung tenaga kerja Maybank yang akan dipindahkan bagi tujuan kesinambungan perniagaan," katanya.

Menara Sumurwang adalah pejabat Gred A dengan status MSC yang dilengkapi Kecerdasan Buatan (AI) dan ciri pintar.

Menara setinggi 33 tingkat itu adalah komponen utama hab kewangan i-City GT, yang turut meliputi pusat beli-belah Central i-City, Hotel DoubleTree by Hilton i-City, dan Pusat Konvensyen i-City.

Hab kewangan itu akan disambungkan dengan stesen LRT i-City yang dijangka dibuka pada 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 2:37 PM