GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah bantuan bayaran balik kekal tinggi pada 36.5 peratus pada bulan Disember atau 5.7 peratus daripada jumlah pinjaman daripada bank-bank dan institusi kewangan pembangunan.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, bahagian PKS yang memohon pelanjutan bantuan bayaran balik pinjaman mereka dengan bank juga meningkat sedikit menjelang akhir tahun 2021.

Keadaan ini didorong terutamanya oleh PKS dalam sektor hotel, perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan yang mengalami pemulihan yang lebih perlahan.

"Bagaimanapun, permohonan R&R (penjadualan dan penstukturan semula) baharu daripada PKS telah mencatatkan penurunan yang ketara daripada paras tertingginya pada bulan Jula i2021, sekali gus menandakan keyakinan yang lebih tinggi dalam kalangan PKS mengenai keupayaan mereka untuk membayar balik hutang," kata BNM dalam laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua yang dikeluarkan, hari ini.

Bantuan bayaran balik pinjaman dan langkah-langkah lain yang dilaksanakan oleh institusi kewangan, kerajaan dan bank, termasuk program bantuan banjir, juga telah membendung sebarang peningkatan kemungkiran yang ketara dalam kalangan PKS.

"Meskipun begitu, PKS dalam sektor yang paling terjejas akibat pandemik akan dipantau dengan rapi oleh bank-bank apabila langkah sokongan ditamatkan secara beransur-ansur,," kata bank pusat.

Menurut BNM, bagi PKS yang terus menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman mereka, penambahbaikan kepada mekanisme penyelesaian hutang PKS di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) boleh membantu mengelakkan ketidaksolvenan berskala besar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 10:52 AM