BANK pusat alu-alukan inisiatif industri perbankan dan AKPK yang memperkenalkan program bagi peminjam individu yang terus terjejas akibat pandemik Covid-19.
BANK pusat alu-alukan inisiatif industri perbankan dan AKPK yang memperkenalkan program bagi peminjam individu yang terus terjejas akibat pandemik Covid-19.

Kuala Lumpur: Bantuan kewangan masih tersedia untuk peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan bagi meringankan beban kewangan mereka berikutan impak pandemik.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bank pusat mengalu-alukan inisiatif industri perbankan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang memperkenalkan Program Pengurusan & Ketahanan Kewangan (Urus) bagi peminjam individu yang terus terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ia berkata, Urus akan membantu peminjam B50 yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus untuk membayar balik pinjaman mereka yang tidak tertunggak.

Katanya, peminjam layak dan berhasrat untuk memohon Urus boleh berhubung dengan bank mereka mulai 15 November 2021 hingga 21 Januari 2022.

"BNM bekerjasama dengan AKPK membangunkan penyelesaian pengurusan hutang dan perancangan kewangan yang holistik. Penyelesaian ini bertujuan untuk menyediakan bantuan yang bersesuaian kepada peminjam supaya mereka bukan saja dapat memenuhi obligasi bayaran balik pinjaman malah lebih penting lagi, dapat mengukuhkan semula kedudukan kewangan mereka.

"Bantuan ini akan memperkukuh daya tahan kewangan peminjam dalam jangka panjang," katanya.

Menurutnya, bagi peminjam/pelanggan yang tidak layak memohon program Urus, mereka masih boleh menghubungi bank untuk berbincang tentang penyelesaian bayaran balik pinjaman yang sesuai dengan keadaan kewangan mereka.

Ia berkata, jika peminjam/pelanggan menghadapi sebarang kesukaran dengan permohonan Urus, mereka boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.my/RAsurvey bagi mendapatkan khidmat nasihat.

 Nor Shamsiah Mohd Yunus
Nor Shamsiah Mohd Yunus

Katanya, peminjam/pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim baharu ini melalui laman sesawang bank-bank dan AKPK.

Bagi PKS pula, BNM berkata, penambahbaikan selanjutnya bagi dana BNM akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2022 yang akan datang.

"Penambahbaikan terhadap dana itu akan membantu perniagaan menguruskan aliran tunai dan membuat penyesuaian apabila ekonomi dibuka semula," katanya.

Gabenor berkata, meskipun risiko kredit meningkat, pembiayaan bank kepada PKS terus berkembang dengan kapasiti tambahan yang disediakan melalui dana BNM dan skim jaminan kredit.

"Bagi tempoh enam bulan 2021, sejumlah RM154 bilion telah dikeluarkan kepada PKS, iaitu empat peratus lebih tinggi berbanding jumlah sebelum pandemik.

"Sejak bermulanya pandemik, sejumlah RM18 bilion telah diperuntukkan di bawah dana itu bagi meningkatkan pembiayaan sistem perbankan kepada PKS.

"Pinjaman terkumpul untuk segmen PKS meningkat sebanyak enam peratus berbanding dengan tempoh sama tahun sebelum ini," katanya.

Menurutnya, usaha juga sedang diambil untuk membangunkan inisiatif pembiayaan hutang-ekuiti dan pembiayaan gabungan bagi membolehkan PKS mendapat akses kepada pelbagai pilihan pembiayaan yang sesuai merentas kitaran pertumbuhan mereka.

"Hal ini penting untuk mengurangkan leveraj serta memperkukuh daya tahan dan kapasiti jangka panjang PKS serta meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 9:55 AM