PINJAMAN di bawah bantuan bayaran balik berkaitan pandemik Covid-19 meningkat secara purata kepada 27 peratus. FOTO Arkib NSTP
PINJAMAN di bawah bantuan bayaran balik berkaitan pandemik Covid-19 meningkat secara purata kepada 27 peratus. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pinjaman di bawah bantuan bayaran balik berkaitan pandemik Covid-19 meningkat secara purata kepada 27 peratus daripada jumlah pinjaman antara Julai hingga Ogos lalu berbanding 12 peratus pada Mac hingga Mei lalu, demikian seperti dilaporkan enam bank terbesar di Malaysia.

Menurut Moody's Investors Service (Moody's), keadaan itu didorong oleh segmen runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selepas Bank Negara Malaysia (BNM) memperluaskan program itu bagi menyokong kumpulan peminjam yang lebih menyeluruh di samping pelanjutan kawalan pergerakan pada Jun lalu.

"Meskipun ini menyebabkan kemerosotan kualiti aset bank, kami tidak meramalkan pinjaman tidak berbayar (NPL) meningkat ketara disebabkan kebanyakan pemohon skim ini dijangka mempunyai kemampuan kewangan mencukupi untuk membayar balik hutang mereka selepas program ini berakhir," katanya.

Moody's dalam komentar sektor bertajuk Bank-bank di Malaysia: Pinjaman di bawah bantuan bayaran balik meningkat, namun, kemerosotan aset adalah terhad, berkata, enam bank terbesar itu adalah Hong Leong Bank Bhd, Public Bank Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Malayan Banking Bhd, RHB Group Bhd dan AmBank Group.

Semua pemohon individu dan PKS yang meminta penangguhan bayaran dan pengurangan bayaran ansuran pinjaman diluluskan secara automatik bermula 7 Julai lalu, tanpa memerlukan dokumen sokongan.

Sebelum ini, hanya permohonan daripada kumpulan isi rumah B40 dan perusahaan mikro diluluskan secara automatik.

"Kami jangka kebanyakan pinjaman di bawah bantuan bayaran balik ini berterusan apabila pendekatan selama enam bulan ini tamat.

"Menurut bank ini, satu daripada alasan ini adalah ketika banyak permohonan diterima pada Julai lalu yang menunjukkan peminjam berdepan tekanan berkemungkinan meningkat, banyak pihak turut menghantar permohonan di bawah program ini untuk memanfaatkan syarat mudah dan membuat simpanan, bukan disebabkan mengalami masalah kewangan buruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 8:19 AM