RIAD (kiri) dan Bo pada sidang media di RedQ KLIA 2. - Gambar NSTP/ROHANIS SHUKRI
RIAD (kiri) dan Bo pada sidang media di RedQ KLIA 2. - Gambar NSTP/ROHANIS SHUKRI
Oleh Alzahrin Alias


Sepang: AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), anak syarikat penerbangan di bawah Capital A Bhd bakal menambah kapasiti pesawat susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia dan kebanyakan negara lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL, Bo Lingam, berkata, kumpulan menjangka kapasiti operasi meningkat kepada 90 pesawat menjelang akhir tahun ini di Malaysia, manakala operasi di Thailand (40 pesawat), Filipina (20 pesawat) dan Indonesia (20 pesawat).

"Ketika ini di Malaysia, jumlah pesawat yang sedang beroperasi adalah 45 dengan 60 peratus digunakan untuk penerbangan domestik manakala 40 peratus untuk penerbangan antarabangsa.

"Berdasarkan unjuran akhir tahun, jumlah penggunaan pesawat untuk penerbangan antarabangsa akan meningkat kepada 45 peratus," katanya selepas taklimat media AAAGL di sini, semalam.

Bo berkata, kumpulan akan menambah perkhidmatan ke beberapa destinasi antarabangsa popular AirAsia termasuk Bali, Manila, Bangkok, Ho Chi Minh City, Phuket dan banyak lagi, bermula bulan depan.

Beliau berkata, operasi penerbangan domestik seluruh kumpulan juga semakin rancak menerusi pelancaran empat laluan domestik baharu di Malaysia dari Kuching ke Langkawi, Pulau Pinang ke Sibu, Johor Bahru ke Bintulu dan Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu, baru-baru ini.

AAAGL juga katanya, melihat perkembangan serupa pada peringkat serantau untuk perkhidmatan domestik dan antarabangsa di Thailand, Filipina dan Indonesia.

"AirAsia akan terus membuka laluan baharu selaras dengan permintaan. Perkhidmatan baharu akan diumumkan dalam masa terdekat apabila sempadan negara lain dibuka semula secara beransur-ansur," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, syarikat menyaksikan penyambungan semula penerbangan antarabangsa beransur-ansur seiring pembukaan semula sempadan di seluruh dunia.

Beliau berkata, dengan sekatan perjalanan yang semakin longgar, kumpulan syarikat penerbangan AirAsia meningkatkan kapasiti penerbangan domestiknya sebanyak 156 peratus sejak Oktober 2021 yang bermula dengan gelembung perjalanan Langkawi.

"Akhirnya, banyak sempadan negara dibuka semula dan dengan pembukaan semula sempadan Malaysia, kami akan melancarkan

semula banyak laluan baharu dari hab utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

"Sebagai jaminan untuk tetamu, keselamatan sentiasa menjadi keutamaan di AirAsia dan kami sentiasa berusaha untuk menyediakan kualiti perkhidmatan bertaraf dunia dengan komitmen untuk mematuhi peraturan dan prosedur keselamatan yang ketat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 7:00 AM