GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) kekal sebagai pasaran eksport utama bagi minyak sawit Malaysia, dengan eksport berjumlah 2.42 juta tan atau 16 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit negara tahun lepas, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Belvinder Kaur Sron berkata MENA mempunyai penduduk melebihi 500 juta, yang menyaksikan penggunaan minyak dan lemak sebanyak 15 juta tan, dengan 87 peratus daripadanya diperoleh menerusi import.

"Minyak sawit menyumbang 30 peratus daripada jumlah penggunaan minyak dan lemak di rantau ini, menawarkan peluang penting kepada eksport Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai antara usaha MPOC untuk memperluas eksport minyak sawit Malaysia dan produk berkaitan ke rantau ini, ia menerima delegasi yang terdiri daripada 18 wakil industri utama daripada syarikat minyak dan lemak di Mesir, Turkiye dan Algeria, iaitu antara acara yang terkandung dalam program Lawatan Perdagangan dan Jaringan untuk Pembeli MENA.

Semasa lawatan tiga hari itu, anggota delegasi akan diberikan pemahaman yang menyeluruh mengenai sektor minyak sawit Malaysia, termasuk maklumat berkenaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Mereka juga berpeluang melawat ladang sawit dan kilang pembungkusan untuk melihat pelbagai proses yang terlibat dalam rantaian bekalan pengeluaran minyak sawit.

"Selain itu, kami yakin sesi padanan perniagaan -- segmen program yang amat ditunggu-tunggu akan memainkan peranan penting untuk memupuk perkongsian dan kerjasama berharga antara perwakilan MENA dan pengeksport minyak sawit Malaysia.

"Kami menjangkakan sesi yang produktif, dan percaya bahawa inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada perdagangan yang membuahkan hasil dan hubungan berkekalan antara kedua-dua rantau ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 6:00 PM