INDUSTRI minyak sawit banyak menyumbang kepada ekonomi negara.
INDUSTRI minyak sawit banyak menyumbang kepada ekonomi negara.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Jumlah eksport minyak dan produk sawit negara dijangka melepasi RM70 bilion pada 2020 berbanding RM67.5 bilion yang dicatatkan pada 2019.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, biarpun berdepan pandemik dan pelbagai cabaran sepanjang tahun, industri minyak sawit banyak menyumbang dari segi bukan saja eksport, malah pekerjaan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan status ekonomi sosial pekebun kecil dan petani.

"Pada 2019, jumlah nilai eksport minyak dan produk sawit Malaysia adalah RM67.5 bilion. Saya gembira dijangkakan pada 2020, nilai eksport akan melepasi RM70 bilion.

"Ini adalah pencapaian yang dicemburui oleh sektor kelapa sawit memandangkan pelbagai cabaran yang dihadapinya sepanjang tahun.

"Ini bukan saja menguntungkan negara melalui perolehan import yang tinggi, tetapi juga menguntungkan pekebun kecil," katanya pada majlis pembukaan Palm Oil Trade Fair & Seminar Digital 2021 (POTS Digital 2021) anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) secara maya, semalam.

Mohd Khairuddin berkata, menyedari betapa pentingnya industri ini kerajaan akan mengambil langkah efektif untuk menangani isu yang dapat mempengaruhi perkembangannya.

Menurutnya, insentif yang disediakan kerajaan seperti penangguhan duti eksport minyak sawit mentah sejak Jun 2020 membuahkan hasil dengan eksport minyak sawit meningkat secara ketara sejak Jun.

Beliau berkata, pihaknya yakin Malaysia bukan saja pulih daripada cabaran ini, tetapi juga menjadi lebih kukuh berbanding sebelum ini dan kerajaan bersama agensi seperti MPOC dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan memastikan negara mengekalkan kehadirannya di dalam pasaran eksport utama dan pada masa sama meneroka peluang pemasaran baharu.

Negara juga berada di barisan hadapan dalam menggunapakai skim pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan membangunkan teknologi hijau lestari berbanding negara lain.

Sementara itu, Pengerusi MPOC, Datuk Osman Sapian berkata, Malaysia komited untuk terus memainkan peranan penting dalam industri minyak dan lemak global, sekali gus menjadi pembekal minyak sawit utama ke pasaran dunia.

Katanya, sebagai negara pengeluar minyak sawit utama, Malaysia sentiasa mencari jalan penyelesaian serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu bagi memastikan kelestarian industri ini.

"Antara cabaran yang dihadapi oleh seluruh dunia ketika ini adalah dalam memastikan amalan kelestarian agar industri minyak sawit tidak memberi impak kepada alam sekitar.

"Kita semua mempunyai tanggungjawab menjadikan setiap industri dan aktiviti berjalan dengan baik serta mesra alam.

"Malaysia menangani cabaran ini dengan serius. Kami menerapkan pelbagai dasar dan garis panduan yang ketat untuk memastikan industri minyak sawit negara mematuhi standard amalan lestari.

"Dasar ini merangkumi pensijilan mandatori minyak sawit lestari di bawah program Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 7:00 AM