Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO Eizairi Shamsudin
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO Eizairi Shamsudin
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia dijangka menerima impak positif khususnya melalui perdagangan dan pelaburan negara berikutan langkah kerajaan membuka sempadan antarabangsa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dengan pembukaan sempadan itu juga akan membantu meningkatkan pemulihan ekonomi dengan lebih pantas.

Katanya, apabila sempadan antarabangsa dibuka, permintaan luaran akan meningkat dan industri tempatan perlu memenuhi perrmintaan pasaran global ini.

"Saya percaya kita semua setuju apabila sempadan antarabangsa dibuka, pastinya ia akan memberi impak positif kepada perdagangn dan pelaburan negara.

"Kita sudah menyaksikan angka-angka yang membuktikan bahawa apabila sempadan dibuka, permintaan luaran meningkat dan industri tempatan perlu memenuhi permintaan pasaran global dan ini memberi ruang kepada pemain industri tempatan untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti mereka.

"Sudah pasti banyak pihak turut menunggu langkah kerajaan dalam membuka sempadan antarabangsa kerana kedudukan Malaysia sebagai pengeluar utama sektor semikonduktor global.

"Ketika sempadan negara ditutup kita melihat ia menganggu rantaian bekalan dan Malaysia adalah antara negara yang aktif dalam bekalan rantaian global dalam banyak sektor khususnya automotif, aeroangkasa dan sektor lain," katanya pada sidang media pengumuman prestasi pelaburan Malaysia pada 2021 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Datuk Arham Abdul Rahman.

Mohamed Azmin berkata, pembukaan sempadan ini juga akan disertai dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan menjadi pemudahcara kepada pelabur antarabangas untuk keluar masuk ke Malaysia bagi tujuan pelaburan.

Beliau berkata, langkah itu juga akan menjadikan nilai eksport negara tahun ini dapat dilonjakkan seperti yang dicatatkan pada 2021 iaitu mencecah RM1.24 trilion dan ini adalah pencapaian empat tahun lebih awal daripada sasaran nilai eksport yang telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu RM1.252 trilion, hasil daripada pembukaan sempadan secara perlahan-lahan.

"Selain itu, pembabitan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) juga akan memberi sokongan tambahan kepada pemulihan ekonomi negara lebih luas berbanding pasaran tempatan hanya sekitar 30 juta populasi.

"Tetapi dengan pembabitan RCEP, ia membuka ruang pasaran kepada 2.3 bilion populasi dan ini akan memberi kesempatan kepada pemain tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan produktiviti bagi memenuhi keseluruhan permintaan.

"Oleh itu, langkah pembukaan sempadan antarabangsa oleh kerajaan ini akan membantu mempercepatkan pemulihan perniagaan, mencerdaskan ekonomi serta menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang pantas pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 6:41 PM