FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

PERJANJIAN Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuat kuasa 1 Januari bagi 10 negara yang menyertainya, membuka laluan bagi pewujudan kawasan perdagangan bebas terbesar dunia.

Negara-negara itu ialah Australia, Brunei, Kemboja, China, Jepun, Laos, New Zealand, Singapura, Thailand dan Vietnam, demikian menurut Sekretariat Asean.

"Perjanjian RCEP berkuat kuasa pada 1 Februari 2022 bagi Korea Selatan.

"Bagi negara penandatangan lain, perjanjian itu berkuat kuasa 60 hari selepas pengemukaan instrumen ratifikasi mereka masing-masing, penerimaan atau kelulusan kepada setiausaha agung Asean sebagai depositari perjanjian tersebut," kata sekretariat itu dalam satu kenyataan.

Malaysia, Indonesia, Myanmar dan Filipina merupakan penandatangan lain yang belum meratifikasikan perjanjian itu.

Perjanjian perdagangan mega itu menyumbang AS$12.7 trilion, lebih satu perempat daripada perdagangan global dalam barangan dan perkhidmatan dan 31 peratus daripada aliran masuk pelaburan langsung asing global.

Sekretariat Asean berkata, ia kekal komited menyokong proses RCEP dalam memastikan pelaksanaan cekap dan berkesan seterusnya menyumbang kepada usaha pemulihan pasca pandemik global.

Malahan, penguatkuasan perjanjian itu manifesto keazaman rantau itu untuk membukakan pasaran, mengukuhkan integrasi ekonomi dan menyokong sistem dagangan pelbagai hala yang bebas, adil dan berasaskan peraturan.

Perjanjian itu menyediakan komitmen akses pasaran baharu dan diselaraskan, peraturan moden dan disiplin yang memudahkan perdagangan dan pelaburan, kata sekretariat tersebut.

Ia juga menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan, mengukuhkan rantaian bekalan dan menyokong penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam rantaian nilai dan hab pengeluaran.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan semua 15 negara menyertai RCEP dianggarkan bernilai AS$25.8 trilion, menyumbang 30 peratus daripada KDNK dunia.

Sementara itu, Indonesia berharap untuk meratifikasi RCEP menjelang suku pertama tahun 2022, kata Menteri Penyelaras untuk Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto.

Suruhanjaya parlimen Indonesia baru memuktamadkan perbahasan mengenai ratifikasi perjanjian RCEP.

"Ia akan dibentangkan di Parlimen awal tahun depan untuk melengkapkan proses dan memastikan pelaksanaan perjanjian cekap," katanya pada taklimat mengenai RCEP yang diadakan secara maya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 6:10 AM