FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatatkan keuntungan bersih RM7.3 bilion pada tahun kewangan 2021 didorong oleh harga petrokimia yang kukuh.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, harga produk petrokimia meningkat ke paras tertinggi dalam sejarah tahun lalu didorong oleh harga tenaga yang lebih tinggi, permintaan yang kukuh dan bekalan yang terhad pada waktu gangguan bekalan global.

"Pendapatan kumpulan meningkat 60 peratus tahun ke tahun kepada RM23 bilion disokong oleh kadar penggunaan loji yang tinggi, sebanyak 93 peratus, walaupun terdapat beberapa aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori yang dijalankan pada tahun ini.

"Margin produk yang lebih baik disebabkan oleh harga produk lebih tinggi meningkatkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) tahun kewangan 2021 kepada 36 peratus daripada dan turut meningkatkan keuntungan selepas cukai kepada RM7.3 bilion daripada RM1.6 bilion dalam tahun berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof.

Keputusan suku keempat 2021 PCG juga adalah prestasi suku tahunan terbaik sejak penubuhannya dan penyenaraian dalam Bursa Malaysia pada 2010.

PCG mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2 bilion pada suku dikaji daripada pendapatan sebanyak RM7 bilion, terutama disumbangkan oleh margin produk yang lebih baik daripada harga urea, polimer dan metanol yang lebih tinggi.

Berikutan prestasi menggalakkan itu, PCG mengumumkan dividen interim kedua berjumlah RM1.8 bilion.

Mohd Yusri berkata, syarikat meraih pencapaian yang memberangsangkan di sebalik cabaran yang dihadapi.

"Cabaran ini termasuk kekangan terhadap rantaian bekalan global, kejutan harga, kesan perubahan iklim dan sekatan berkaitan Covid-19, yang menjadi antara faktor yang masih relevan bagi tahun 2022.

"Prestasi tahun kewangan 2021 PCG yang cemerlang adalah hasil daripada inisiatif kecemerlangan operasi dan komersial warga kerja kami.

"Walaupun terdapat ketidaktentuan pasaran, kami mengambil peluang, menyampaikan sasaran pengeluaran dan jualan dan yang paling penting, memberi perkhidmatan kepada pelanggan melalui produk dan penyelesaian inovatif tepat pada masanya," katanya.

Mengenai prospek 2022, Mohd Yusri berkata, tahun ini bermula dengan baik apabila prospek pasaran jangka terdekat menyaksikan harga produk dijangka kekal kukuh, disokong oleh harga minyak mentah dan gas asli yang tinggi seiring dengan ketegangan geopolitik berterusan dan peningkatan pengeluaran Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) yang lewat.

"Kami menjangkakan pemulihan pasaran akan berlaku secara beransur-ansur apabila permintaan seimbang dengan bekalan daripada kapasiti baharu di rantau Asia Pasifik, yang dijadualkan bermula tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 4:05 PM