PETRONAS Chemicals.
PETRONAS Chemicals.
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan pendapatan dan keuntungan suku tahunan yang kukuh bagi suku kedua (2Q) 2021.

Prestasi yang didorong oleh lonjakan harga produk petrokimia turut disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan pemulihan dalam permintaan global yang kukuh.

Keuntungan Selepas Cukai (PAT) dicatatkan sebanyak RM1.9 bilion dalam tempoh berkenaan di mana sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan margin produk walaupun beroperasi dalam persekitaran yang sangat mencabar akibat peningkatan semula wabak Covid-19 dan gangguan rantaian bekalan.

Secara kumulatif, PAT meningkat kepada RM3.3 bilion pada separuh pertama (1H) 2021 berbanding RM678 juta pada tempoh sama tahun lalu.

PCG juga mengumumkan pembayaran dividen interim sebanyak RM1.84 bilion yang juga 55 peratus daripada PAT 1H 2021.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sazali Hamzah berkata, kenaikan harga minyak mentah pada 2Q 2021, digabungkan dengan kenaikan permintaan petrokimia, telah mengukuhkan harga produk dan meningkatkan margin keuntungan.

"Berbanding tahun sebelumnya, harga polimer dan urea masing-masing meningkat sekitar 70 peratus dan 60 peratus, manakala harga ammonia dan metanol meningkat dua kali ganda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, walaupun berdepan persekitaran mencabar akibat pandemik Covid-19, Kumpulan berjaya mencatatkan perolehan suku tahunan tertinggi.

"Saya gembira dengan prestasi yang dicatatkan memandangkan persekitaran kerja yang semakin mencabar disebabkan wabak Covid-19.

"Model perniagaan PCG yang menumpukan kepada kecemerlangan operasi dan komersial memastikan kami memperolehi peluang pasaran sambil mengharungi gangguan rantaian bekalan global.

"Sebagai contoh, kami dapat mengoptimumkan pengeluaran bagi memenuhi keperluan pelanggan walaupun sewaktu PCG sedang menjalankan aktiviti penyelenggaraan dan pemulihan statutori," katanya.

Katanya, bagi prospek untuk bulan-bulan seterusnya tahun ini, 2021, Sazali berkata, pihaknya menjangkakan kenaikan harga yang sederhana bagi 2H 2021.

"Memandangkan pencapaian yang memberangsangkan bagi 1H 2021, peningkatan keseluruhan prestasi kami tahun ini nampak menggalakkan.

"Tambahan lagi, kami akan meneruskan inisiatif kami termasuk langkah pengoptimuman kos bagi memaksimumkan prestasi kewangan dalam keadaan industri semasa yang kian meningkat," katanya.

Sazali berkata, keuntungan Kumpulan akan terus disumbangkan oleh kapasiti pengeluaran PCG sedia ada.

"Kapasiti baharu, terutamanya daripada fasiliti petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang, belum lagi mula menyumbang kepada keuntungan PCG tahun ini.

"Kami akan meneruskan usaha dalam memulakan operasi dengan selamat dan berjaya bagi kompleks bersepadu berkenaan menjelang akhir tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 9:36 PM