MATRADE bekerjasama dengan Medac serta SME Bank membantu PKS Malaysia mengembangkan kehadiran jenama di pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara.
MATRADE bekerjasama dengan Medac serta SME Bank membantu PKS Malaysia mengembangkan kehadiran jenama di pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) serta SME Bank bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia mengembangkan kehadiran jenama di pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, kerjasama itu bagi memulihkan perniagaan pascapandemik dan turut membabitkan penyertaan 11 syarikat daripada pelbagai sektor dalam Misi Mempercepatkan Eksport (EAM) ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, kerjasama antara Matrade, Medac dan SME Bank menandakan kepentingan sinergi dalam ekosistem perdagangan dalam mengukuhkan daya saing perdagangan Malaysia sebagai disyorkan Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp).

"Tahun ini, Matrade terus menjalin dan memanfaatkan kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian, agensi, kedutaan asing dan persatuan industri perdagangan dalam melaksanakan program berkaitan eksport untuk mewujudkan lebih banyak peluang kepada komuniti perniagaan.

"Matrade menggariskan 286 program promosi eksport dan pembangunan pengeksport tahun ini bagi syarikat Malaysia untuk berani menghadapi permintaan pasaran serta mengembangkan jejak global mereka.

"Justeru, adalah penting semua pihak bekerjasama untuk memastikan program ini berimpak tinggi dan, akhirnya mengangkat eksport ke trajektori pertumbuhan," katanya dalam kenyataan, semalam.

NTBp adalah rangka tindakan itu menggariskan strategi dan inisiatif pembangunan lima tahun (2021 hingga 2025) adalah untuk meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia, khususnya dalam eksport barangan.

Dilancarkan pada Oktober 2021 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, NTBp bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan yang dinamik dan terkemuka melalui pembangunan dan promosi eksport yang mampan.

Diadakan bersempena dengan Ekspo Dunia 2020 Dubai, EAM selama seminggu itu bertujuan untuk memberi peluang kepada PKS mengembangkan kehadiran jenama dalam pasaran dan mewujudkan perkongsian perniagaan dengan UAE dan negara jirannya Timur Tengah serta Afrika Utara (Mena).

Mohd Mustafa berkata, Matrade kekal komited dalam memberikan sokongan dan bantuan kepada syarikat Malaysia di barisan hadapan pasaran global.

Beliau berkata, dengan rangkaian 46 pejabat di luar negara dan lima pejabat wilayah di Malaysia, Matrade bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu pertumbuhan eksport negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 7:00 AM