KETUA Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.
KETUA Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menjangkakan kira-kira 3,500 syarikat Malaysia akan mendaftar di Platform Perdagangan Digital (MDTP) Matrade dengan hasil eksport sehingga RM7 juta bagi tempoh setahun pertama pengenalan platform itu di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, pihaknya komited mencapai 35,000 syarikat tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk menyertai platform itu dengan hasil eksport disasarkan sehingga RM70 juta dalam tempoh lima tahun.

Katanya, Matrade menggesa syarikat Malaysia untuk mendaftar ke MDTP yang baru dilancarkan ini serta memanfaatkan sepenuhnya dan menggunakan ciri yang ada dalam platform terbabit.

"Bagi syarikat tempatan yang mahu kekal relevan, cekap dari segi digital, produktif dan meningkatkan daya saing, platform ini sesuai digunakan terutama untuk memperluas capaian perusahaan ke pasaran antarabangsa," katanya di majlis pra pelancaran MDTP di sini, semalam.

Platform MDTP adalah untuk melengkapkan dan bekerjasama dengan pemain pasaran dalam menyediakan penyelesaian digital kepada komuniti perniagaan.

Platform perdagangan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan perniagaan-ke-pelanggan (B2C) ini juga mempercepatkan kemasukan PKS tempatan ke pasaran perdagangan antarabangsa serta mengurangkan kerumitan perdagangan, memupuk kesalinghubungan perniagaan dan mempromosikan produk serta perkhidmatan buatan Malaysia kepada pembeli dan rakan kongsi di seluruh dunia.

Mohd Mustafa berkata, perkongsian dengan Fusionex Group ini akan meningkatkan lagi penyampaian Matrade kepada pihak berkepentingan dan mengukuhkan kapasiti Matrade dengan memanfaatkan pendigitalan dalam memudahkan proses kerja untuk pembangunan dan promosi eksport.

"Oleh itu, saya menjemput syarikat Malaysia untuk mengambil alih dan mendaftar ke MDTP dan menggunakan sepenuhnya ciri yang ada," katanya.

Dikuasakan oleh Fusionex, MDTP diselitkan dengan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data besar untuk membimbing, mengukur dan mengurus hasil eksport, analisis trend dan aktiviti jualan syarikat Malaysia yang mengambil bahagian, bertujuan untuk membantu syarikat mengembangkan perniagaan mereka dalam data dengan cara berkesan dan cekap.

Beliau berkata, inisiatif ini sejajar dengan misi Matrade untuk memperkasa syarikat tempatan bagi meneroka pasaran global, di mana platform itu bertindak sebagai ruang maya interaktif berpusat perdagangan yang menghubungkan komuniti perniagaan Malaysia dengan pembeli antarabangsa.

"Ketika Malaysia meletakkan sasarannya untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju, Matrade telah memberikan penekanan lebih besar kepada pendigitalan dalam Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp), yang dirangka untuk meningkatkan daya saing perdagangan negara dan mengatasi cabaran eksport.

"Pengenalan MDTP mengukuhkan komitmen Matrade untuk memacu aktiviti eksport negara dengan menggunakan teknologi terkini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 7:07 AM