DUDUK dari kiri Mizan dan Rizal pada majlis menandatangani MoU sambil disaksikan Mohd Muazzam (tiga dari kiri) serta Syed Hussien (tiga dari kanan).
DUDUK dari kiri Mizan dan Rizal pada majlis menandatangani MoU sambil disaksikan Mohd Muazzam (tiga dari kiri) serta Syed Hussien (tiga dari kanan).

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menjalin kerjasama strategik dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, kerjasama terbaharu ini akan memberi manfaat kepada pelanggan PKS Bank Islam untuk menyertai Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah (SSFS).

"Kerajaan, menerusi SME Corp telah memperuntukkan rebat keuntungan 2.0 peratus kepada pembiayaan PKS, berjumlah RM4 bilion di bawah inisiatif berkenaan.

"Sejak skim pembiayaan ini dimulakan pada 2013, Bank Islam sudah menyokong 121 pelanggan PKS dengan nilai pembiayaan berjumlah lebih RM133 juta.

"Dengan penawaran komprehensif yang memberi manfaat kepada PKS, kami berhasrat untuk meningkatkan jumlah terbabit menerusi pemeteraian MoU ini," katanya di majlis menandatangani MoU antara Bank Islam dan SME Corp secara maya di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy; Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee; Ketua Pegawai Perniagaan Bank Islam, Mizan Masram dan Ketua Perbankan PKS Bank Islam, Rizal Yusof.

Sebagai nilai tambah untuk kerjasama strategik ini, Bank Islam juga akan memperluas rangkaian produk dan perkhidmatan patuh syariah bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan, termasuk keperluan modal kerja dan perbelanjaan modal, pembiayaan perdagangan, kemudahan bantuan kewangan, bancatakaful, pengurusan tunai dan penyelesaian perbankan elektronik.

Bank Islam juga bakal melancarkan aplikasi mudah alih SMEXpert tidak lama lagi, inisiatif digital yang menyokong seluruh ekosistem PKS dengan menyediakan sumber perniagaan dan kewangan.

Selain itu, pelanggan PKS juga dapat meningkatkan kapasiti perniagaan mereka melalui Program Peningkatan Entrepris Bumiputera (BEEP), SMEs Go Global dan Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (Score), di samping layak menyertai Anugerah Enterprise 50 berprestij, anjuran SME Corp.

Sementara itu, Syed Hussien berkata, kerjasama strategik antara SME Corp dan Bank Islam adalah sebahagian daripada usaha proaktif untuk memberikan peluang perniagaan kepada PKS yang layak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 7:30 AM