MOHD Rithaudden.
MOHD Rithaudden.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp), memperuntukkan RM10 juta pembiayaan di bawah Program Rakan Kongsi Pelaburan PKS (SIP) untuk disalurkan kepada syarikat pemula dan usahawan peringkat awal.

Ketua Pegawai Pembangunan Ekosistem SME Corp, Mohd Rithaudden Makip berkata, pihaknya sekarang dalam peringkat menilai syarikat pemula dan usahawan yang layak dibantu.

Katanya, SME Corp juga melaksanakan beberapa siri SIP bagi mencari syarikat pemula berkelayakan serta memberi bimbingan kepada mereka mengenai apa yang perlu dilakukan untuk mengembangkan lagi perniagaan.

“Kami memilih syarikat pemula dan usahawan peringkat awal kerana kita tahu agak sukar bagi mereka untuk mendapatkan bantuan kewangan di institusi kewangan yang berkaitan.

“Dengan usaha yang dilakukan sejak beberapa tahun ini, pada 2018 kami mendapatkan dua rakan pelaburan daripada sektor swasta dan berjaya mengumpul saiz dana lebih kurang RM90 juta bagi pelaburan kerajaan dan swasta.

“Justeru, melalui SIP kita boleh memberi pembiayaan dari RM1 juta hingga ke RM5 juta bagi setiap industri terpilih,” katanya.

Mohd Rithaudden berkata, bagaimanapun pembiayaan ini terbuka kepada syarikat pemula dan usahawan peringkat awal yang menjalankan perniagaan di bawah tiga tahun.

Beliau berkata, SIP ini juga sebahagian usaha SME Corp mengembangkan sumber pembiayaan alternatif berikutan kesukaran dihadapi syarikat pemula niaga dan usahawan peringkat awal untuk mendapatkan akses pembiayaan daripada institusi kewangan.

“Terdapat jurang dalam keperluan pembiayaan dalam kalangan PKS, oleh itu wujud keperluan untuk membangunkan dan mengembangkan pembiayaan alternatif seperti ini yang membabitkan pelabur swasta dan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, negara sudah agak matang dalam instrumen pembiayaan alternatif termasuk modal ekuiti, modal teroka swasta, ekuiti pendanaan awam, rakan setara (P2P) dan juga pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 7:02 AM