AEON bangga dapat jalin kerjasama dengan Grab Malaysia bagi menawarkan GrabPay sebagai antara kaedah pembayaran.
AEON bangga dapat jalin kerjasama dengan Grab Malaysia bagi menawarkan GrabPay sebagai antara kaedah pembayaran.

AEON Co (M) Bhd (Aeon) bekerjasama dengan Grab Malaysia untuk membolehkan penggunaan e-dompet GrabPay sebagai kaedah pembayaran.

Ini sejajar dengan usaha syarikat untuk menyediakan pengalaman beli-belah serba canggih yang menggunakan kaedah digital dan sesuai dengan keperluan pelanggan masa kini.

Ketua Pegawai Kewangan Aeon, Dr Grace Lee berkata, pihaknya berbangga dapat menjalin kerjasama dengan Grab Malaysia bagi menawarkan GrabPay sebagai antara kaedah pembayaran.

"Sudah tentu ia akan memberi kemudahan yang lebih kepada pelanggan Aeon di samping membolehkan mereka menikmati penjimatan setiap kali berbelanja.

"Kerjasama ini juga membolehkan kami menjangkau kepada lebih ramai lagi pelanggan yang tangkas dengan teknologi dan menggemari kaedah beli-belah digital yang kurang interaksi fizikal.

"Kami sentiasa berusaha untuk menambah nilai kepada perkhidmatan kami. Arah tuju kami jelas untuk maju ke hadapan dan saban masa berusaha gigih bagi mempertingkat pertumbuhan ekosistem peruncitan baharu, berasaskan permintaan dan cenderung menangani dinamik pasaran, corak kepenggunaan dan tabiat pengguna," katanya.

Sementara itu, Ketua GrabPay Grab Malaysia, Priyanka Madan berkata, pihaknya percaya dalam pembentukan kerjasama sinergi untuk membolehkan warga Malaysia menikmati akses selesa bagi memenuhi keperluan harian seperti barangan runcit dan produk keperluan rumah.

"Kami berbesar hati Aeon memberi kepercayaan kepada kami untuk membina ekosistem pembayaran bebas sentuh dan menyokong perjalanan transformasi digital mereka.

"Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk memanfaatkan solusi inovatif lagi inklusif kami bagi memenuhi keperluan kewangan digital pengguna.

"Ciri rangsangan seperti GrabRewards sudah tentu menggalak pelanggan Aeon menikmati penjimatan demi penjimatan bagi setiap transaksi, lebih-lebih lagi ia dilindungi dengan pelbagai lapisan keselamatan," katanya.

Sempena tahun baharu dan bermulanya perayaan Tahun Baharu Cina ini, pelanggan Aeon yang berbelanja menggunakan GrabPay akan menikmati rebat RM8 bagi pembelian minimum RM88.

Kempen ini bermula dari 15 Januari sehingga 28 Februari ini di cawangan Aeon Store, Aeon MaxValu Prime, Aeon Wellness dan Aeon BiG tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:10 AM