Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan menganggarkan bencana banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang melanda pada Disember lalu menyebabkan pengurangan nilai pengeluaran sektor ekonomi antara RM4 bilion hingga RM8 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, walaupun bencana itu menjejaskan aktiviti ekonomi khususnya di kawasan yang terkesan, unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kekal antara 3.0 hingga 4.0 peratus bagi keseluruhan 2021.

Bercakap pada Persidangan Khas Dewan Rakyat semalam, beliau berkata, kerajaan mengambil kira indikator utama yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan.

"Momentum pemulihan dijangka berterusan sepanjang tahun ini iaitu ekonomi kita dijangka terus berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, sejajar dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia," katanya.

Persidangan Khas Pengurusan Bantuan Banjir itu membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir, pascabanjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia serta perancangan jangka panjang bagi pengurusan bencana.

Tengku Zafrul berkata, IMF dan Bank Dunia menyasarkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 6.0 peratus dan 5.8 peratus.

"Pemacu utama pertumbuhan Malaysia termasuk pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial susulan peralihan seluruh negara ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara," katanya.

Sementara itu, menurutnya, kerajaan sehingga kini menyalurkan lebih RM125 juta kepada negeri yang terbabit banjir bagi menyelaras pemberian Bantuan Tunai Wang Ihsan (BWI) dan BWI untuk kematian kepada ketua isi rumah (KIR) yang terbabit.

Beliau berkata, sejak 27 Disember sehingga kini, 75,000 KIR menerima bayaran BWI sebanyak RM1,000 dengan penyaluran berjumlah RM75,000.

Selain itu, katanya 45,000 isi rumah yang terkesan akibat banjir juga menerima manfaat pengecualian bayaran bil elektrik bagi bulan Disember 2021.

"Alhamdulillah, setakat data terkini yang diperoleh, bagi baucar diskaun pembelian peralatan elektrik bernilai RM500, ia memanfaatkan kira- kira 5,100 ketua isi rumah dengan nilai keseluruhan baucar di gunakan berjumlah hampir RM2.5 juta," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan kerajaan mengenal pasti 439 KIR yang layak untuk menerima sumbangan bantuan tunai Pembaikan Kecil Rumah sehingga RM5,000 ekoran bencana banjir Monsun Timur Laut pada Disember lalu.

Bagi KIR yang dikenal pasti mengalami kerosakan rumah dengan nilai melebihi RM5,000 pula, kerajaan akan melantik kontraktor dengan kadar sehingga RM15,000 untuk baik pulih rumah dan sehingga RM56,000 untuk bina kediaman baharu.

"Bagi pembaikan rumah bernilai RM5,000 hingga RM15,000 pula, hampir 10,000 rumah dikenal pasti layak menerima kemudahan baik pulih rumah oleh kerajaan.

"Selanjutnya, 259 orang mangsa banjir pula setakat ini dikenal pasti memerlukan kemudahan bina baharu rumah kediaman mereka oleh kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 8:04 AM