TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) akan terus memantau keadaan dan sentiasa bersedia menyediakan peruntukan yang secukupnya bagi membantu mangsa banjir secepat mungkin.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan menyediakan peruntukan termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang ditambahbaik berbanding tahun lalu dengan kadar BWI ditingkatkan daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir.

"BWI RM1,000 itu diberi bukan sahaja kepada KIR di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetapi juga diperluaskan kepada KIR yang tidak berpindah ke PPS.

"Mangsa boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali ketika MTL.

"Bantuan kematian kepada waris mangsa turut dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi menyegerakan BWI kepada mangsa banjir, pada 24 Disember 2021, pihak NADMA telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM26.9 juta kepada semua negeri yang terjejas.

"Selaras dengan penambahbaikan BWI, MOF akan memastikan NADMA mendapat peruntukan yang mencukupi

untuk memenuhi keperluan sebenar.

"Peruntukan awal RM100 juta telah disediakan untuk usaha pemulihan pascabanjir, termasuk pembersihan dan pembaikan kawasan perumahan dan infrastruktur awam.

"Bagi menyegerakan dan memudahcara pelaksanaan

kerja pemulihan pasca banjir, MOF pada 21 Disember 2021 telah mengeluarkan garis panduan berhubung kelonggaran kaedah perolehan untuk kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir," katanya.

Tengku Zafrul berkata, bagi dana sebanyak RM100 juta di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) MyRinggit-i Banjir, BSN menawarkan mangsa banjir pembiayaan sehingga RM10,000 (berbanding RM5,000 pada minggu lalu) pada kadar 0 peratus dengan moratorium bayaran balik selama enam bulan dan

selanjutnya bayaran balik dalam tempoh sehingga 3.5 tahun.

"Pemohon boleh memohon mulai 27 Disember 2021 melalui https://www.bsn.com.my," katanya.

Selain itu, menurutnya, peningkatan dana dari RM200 juta ke RM500 juta bagi Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) oleh Bank Negara Malaysia membolehkan Perusahaan Mikro

Kecil dan Sederhana (PMKS) membiayai penggantian peralatan yang rosak akibat banjir serta modal kerja.

"Pembiayaan sehingga RM500,000 akan disediakan untuk PKS; manakala usahawan mikro boleh meminjam

sehingga RM75,000.

"Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun

termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

"Kadar pembiayaan adalah hingga 3.5 peratus setahun termasuk kos jaminan.

"Permohonan boleh dibuat melalui bank-bank komersial mulai 27 Disember 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 3:48 PM