MADOKA (kanan) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum melancarkan kereta Honda Civic Serba Baharu, semalam.
MADOKA (kanan) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum melancarkan kereta Honda Civic Serba Baharu, semalam.

HONDA Malaysia menyasarkan jualan 900 unit sebulan menerusi pengenalan model Honda Civic Serba Baharu generasi ke-11.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Madoka Chujo berkata, model ini menerima sambutan menggalakkan dengan 1,200 unit pratempahan ketika ia dibuka pada hujung tahun lalu.

"Sebagai pendahulu model segmen C bukan nasional di negara ini Civic Serba Baharu ini dilengkapi ciri berteknologi tinggi dengan reka bentuk baharu bagi meneruskan legasinya," katanya ketika pelancaran di sini, semalam.

Sejak diperkenalkan pada 2001, 153,000 unit Civic terjual di negara ini dan model terbaharu ini inpirasi gabungan elemen klasik dan masa hadapan untuk identiti sedan alaf baharu.

Didatangkan dengan tiga varian iaitu E, V dan RS.

Varian RS adalah pertama kali ditawarkan dan semuanya dengan satu pilihan enjin iaitu 1.5L Pengecas Turbo VTEC yang menjana 182PS dan tork 240Nm.

Ia juga dilengkapi tiga mod pemanduan iaitu ECON, Normal dan Sport serta kotak gear transmisi CVT yang ditambah baik.

Untuk rekaan luaran dengan lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) serta gabungan lampu belakang LED baharu menceminkan identiti Civic.

Ruang kabin dengan ruang cermin luas serta penggunaan Honeycomb Mesh gaya premium pada bahagian papan pemuka serta, kluster meter TFT bersaiz tujuh inci dan sistem multimedia tujuh inci (E dan V) dan sembilan inci untuk RS.

Ciri keselamatan Honda Sensing diperbaharui juga dilengkapi pada model ini dengan Kawalan Pemanduan Adaptif dan Sistem Mengikuti Kenderaan (Low Speed Follow) selain Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

"Tempoh menunggu utuk model ini mengambil masa sekitar satu hingga dua bulan dan penyerahan akan mula dilakukan kepada pembeli pada minggu ketiga Januari ini," katanya.

Honda Civic Serba Baharu dengan lima pilihan warna dijual pada harga RM125,634 (E), RM138,046 (V) dan RM144,350 (RS).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 7:01 AM