Lizam Ridzuan


SENTUHAN elemen praktikal, gaya dan teknologi menjadi teras utama bagi model Honda HR-V Serba Baharu yang dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Menerusi konsep 'Amp Up Your Life' yang diperbaharui, model ini turut menampilkan pelbagai ciri yang menyerlahkan rekaannya.

Ia juga tampil dengan kemasan ciri premium.

Untuk rekaan luaran, kenderaan utiliti sukan (SUV) HR-V Serba Baharu ini didatangkan dengan gril hadapan sporty lebih besar dan lebar dengan lampu LED, lampu nyalaan siang (DRL), lampu isyarat sequential dan rim aloi bersaiz 18 inci.

Ruang kabinnya juga selesa dengan ciri moden. Kerusinya dibaluti kulit selain dilengkapi pedal kaki sport, penyaman udara automatik dan 'Deceleration Selector Paddle' (varian RS).

Untuk varian RS, V dan E, ia menampilkan paparan kluster meter (TFT) bersaiz tujuh inci dan sistem infotainmen bersaiz lapan inci dengan keterhubungan Apple CarPlay serta Adroid Auto.

Ciri lain, ia didatangkan dengan pintu kargo belakang bebas tangan elektrik dengan fungsi pintu tertutup sendiri jika pemandu bergerak jauh daripada kenderaan, penghidup enjin kawalan jauh dan kunci automatik ketika beredar serta kawalan menuruni bukit.

HONDA HR-V Serba Baharu serlah gaya enjin prestasi.
HONDA HR-V Serba Baharu serlah gaya enjin prestasi.

PAPAN pemuka elegan.
PAPAN pemuka elegan.

ELEMEN praktikal.
ELEMEN praktikal.

HR-V Serba Baharu juga dilengkapi dengan Honda Sensing menerusi antaranya Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan, Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran, Sistem Bantuan Kekal Lorong, Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan dan Kawalan Pemanduan Adaptif.

HR-V Serba Baharu didatangkan dengan tiga pilihan enjin iaitu 1.5L e:HEV dengan bantuan dua motor. Ia menjana 131PS dan tork 253Nm (varian RS) yang menawarkan tiga mod pemanduan iaitu EV, Hibrid dan Enjin yang bertukar mengikut keperluan.

Ia turut ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5L VTEC Turbo (varian V dan E) dengan 181PS dan 240Nm dan 1.5L DOHC i-VTEC dengan kuasa 121PS dan tork 145Nm (varian S).

Selain itu, model ini dilengkapi Honda Connect untuk Teknologi Telematik Pintar bagi keselamatan, sekuriti dan kemudahan.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu merah, kelabu, putih, perak dan hitam.

Untuk pasaran Malaysia, Honda HR-V Serba Baharu dijual pada harga RM140,800 (e:HEV RS), RM134,800 (1.5T V), RM129,800 (1.5T E) dan RM114,800 (1.5L S).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 6:52 AM