Lizam Ridzuan

Sekian lama dinanti, akhirnya, Honda Civic Serba Baharu yang tampil dengan ciri rekaan lebih dinamik serta elemen teknologi terkini dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Tiga varian ditawarkan iaitu E, V dan untuk RS. Buat julung kalinya, kesemuanya ditawarkan dengan satu pilihan enjin iaitu 1.5L Pengecas Turbo VTEC DOHC yang menjana 182PS dan tork 240Nm.

Ciri terbaharu model ini membabitkan tiga mod pemanduan iaitu Econ, Normal dan Sport serta kotak gear transmisi CVT yang ditambah baik.

CIVIC Serba Baharu generasi ke-11.
CIVIC Serba Baharu generasi ke-11.

Untuk rekaan luaran, ia datang dengan lampu utama LED automatik dengan lampu nyalaan siang (DRL) serta gabungan lampu belakang LED baharu.

Pilihan rim aloi pula pelbagai, daripada bersaiz 16 inci (V), 17 inci (E) dan 18 inci (RS) dengan padanan spoiler belakang serta ekzos berkembar krom.

Honda Civic Serba Baharu ini ia 30 milimeter (mm) lebih panjang, 1mm lebih rendah selain 3mm lebih lebar berbanding model sebelumnya.

BAHAGIAN belakang gaya terkini.
BAHAGIAN belakang gaya terkini.

Bahagian kabin dilengkapi ruang cermin luas. Bahagian papan pemuka gaya premiumnya pula menggunakan Honeycomb Mesh.

Ia lengkap dengan kluster meter TFT bersaiz tujuh inci selain sistem multimedia tujuh inci (E dan V) dan sembilan inci untuk RS.

Untuk varian E dan RS, ia didatangkan dengan kerusi larasan elektrik lapan ketetapan, roda stereng dengan 'paddle shfiter' dan sistem bunyi lapan pembesar suara.

Varian RS pula dilengkapi tempat duduk kombinasi kulit dengan jahitan benang merah, lapisan siling hitam, pedal kaki sport dan pencahayaan ruang kaki.

TAMPIL ciri rekaan alaf baharu Honda.
TAMPIL ciri rekaan alaf baharu Honda.

Selain itu, untuk ruang kabin yang lebih senyap dan pemanduan yang selesa, Bunyi, Getaran dan Kekasaran (NVH) juga dipertingkatkan menerusi pemasangan insulator, penebat alas lantai dan semburan busa di bahagian kerangka.

Ciri keselamatan 'Honda Sensing' yang diperbaharui juga dilengkapi pada model ini dengan Kawalan Pemanduan Adaptif dan Sistem Mengikuti Kenderaan (Low Speed Follow) dengan Sistem Notifikasi Kenderaan Hadapan Berlepas (Baharu), Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran, Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan, Sistem Bantuan Kekal Lorong, Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan, Amaran Keluar Lorong dan lampu tinggi automatik.

RUANG dalaman serba baharu menarik.
RUANG dalaman serba baharu menarik.

Selain itu, ia dilengkapi antaranya enam beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Kestabilan Kenderaan, Bantuan Mula Mendaki, Amaran Berhenti Kecemasan, Agihan Brek Elektronik dan Honda Lane Watch.

Honda Civic Serba Baharu datang dengan lima pilihan warna dengan dua warna baharu iaitu merah dan kelabu selain putih mutiara, perak dan hitam mutiara.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM125,634 (E), RM138,046 (V) dan RM144,350 (RS).

FUNGSI Honda Lane Watch.
FUNGSI Honda Lane Watch.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 6:20 AM