Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 900 unit sebulan menerusi pengenalan model Honda Civic Serba Baharu generasi ke-11.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Madoka Chujo berkata, model ini juga menerima sambutan menggalakkan dengan menerima sebanyak 1,200 unit pratempahan ketika ia dibuka pada hujung tahun lalu.

"Sebagai pendahulu model segmen C bukan nasional di negara ini Civic Serba Baharu ini dilengkapi dengan ciri-ciri berteknologi tinggi dengan reka bentuk baharu bagi meneruskan legasinya," katanya ketika pelancaran di sini hari ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoko Chujo (kanan) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum (kiri) pada pelancaran Honda Civic Serba Baharu. FOTO Asyraf Hamzah
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoko Chujo (kanan) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum (kiri) pada pelancaran Honda Civic Serba Baharu. FOTO Asyraf Hamzah

Sejak diperkenalkan pada 2001 sebanyak 153,000 unit Civic sudah terjual di negara ini dan model terbaharu ini adalah inpirasi gabungan elemen klasik dan masa hadapan untuk identiti sedan alaf baharu.

Didatangkan dengan tiga varian iaitu E, V dan RS.

Varian RS adalah pertama kali ditawarkan dan kesemuanya dengan satu pilihan enjin iaitu 1.5L Pengecas Turbo VTEC yang menjana 182PS dan tork 240Nm.

Ia juga dilengkapi tiga mod pemanduan iaitu ECON, Normal dan Sport serta kotak gear transmisi CVT yang ditambahbaik.

Untuk rekaan luaran dengan lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) serta gabungan lampu belakang LED baharu menceminkan identiti Civic.

Ruang kabin dengan ruang cermin luas serta penggunaan Honeycomb Mesh gaya premium pada bahagian papan pemuka serta, kluster meter TFT bersaiz 7 inci dan sistem multimedia 7 inci (E dan V) dan 9 inci untuk RS.

Bahagian belakang Honda Civic Serba Baharu.
Bahagian belakang Honda Civic Serba Baharu.

Ciri keselamatan Honda Sensing yang diperbaharui juga dilengkapi pada model ini dengan Kawalan Pemanduan Adaptif dan Sistem Mengikuti Kenderaan (Low Speed Follow) selain Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

"Tempoh menunggu utuk model ini mengambil masa sekitar satu hingga dua bulan dan penyerahan akan mula dilakukan kepada pembeli pada minggu ketiga Januari ini," katanya.

Honda Civic Serba Baharu dengan lima pilihan warna dijual pada harga RM125,634 (E), RM138,046 (V) dan RM144,350 (RS).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 1:58 PM