CIVIC Generasi ke-11.
CIVIC Generasi ke-11.
Lizam Ridzuan


PELANCARANNYA hanya akan diadakan pada tahun hadapan, namun baru-baru ini, Vroom berkesempatan 'mengintip' Honda Civic Serba Baharu generasi ke-11 daripada varian RS.

Sesi pandu uji diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) oleh Honda Malaysia untuk pihak media digunakan sepenuhnya untuk merasai pengalaman pertama prestasi serta rekaan kereta ini.

Untuk model serba baharu ini, ia berdimensi panjang 4,678 milimeter (mm), lebar 1,802mm, tinggi 1,415mm serta berjarak roda 2,735mm. Model ini lebih besar dan lebar daripada model generasi terdahulu.

Menerusi varian RS yang julung kali diperkenalkan untuk barisan model Civic, ia tampil dengan ciri sporty dengan cermin sisi hitam, antena radio sirip jerung, spoiler belakang baharu dan rim aloi hitam matte bersaiz 18 inci.

Rekaan lampu hadapannya yang dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL) juga tampil baharu.

Untuk prestasi, Honda Civic generasi ke-11 ini dikuasakan dengan enjin 1.5L VTEC pengecas turbo yang dipertingkatkan.

Ia kini datang dengan kuasa 182PS dan tork 240Nm. Ia paling berkuasa dalam segmennya dengan melebihi keupayaan prestasi enjin 2.4 liter.

Ia juga datang dengan tiga mod pemanduan iaitu Econ, Normal dan Sport yang boleh ditukar dengan mudah dengan Sport menawarkan ciri tork dan pecutan yang lebih responsif.

Menerusi pengalaman penulis sendiri yang mengujinya dengan kelajuan maksimum di SIC, tukaran gear bukan saja lebih lancar malah pengendalian di selekoh juga lebih mantap.

Enjin turbonya juga menghamburkan prestasi cukup ampuh.

TAMPIL lebih sporty.
TAMPIL lebih sporty.

Untuk Civic RS Serba Baharu, ia dilengkapi sistem keselamatan Honda Sensing dengan sembilan fungsi utama termasuk yang terbaharu, Sistem Makluman Pergerakan Kereta Hadapan.

Ciri lain antaranya ialah Kawalan Pelayaran Adaptif (ASS), 'Low-Speed Follow' (LSF), Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (CMBS) dan Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW).

Ia disertakan antaranya enam beg keselamatan, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), penghidup enjin menggunakan kunci kawalan jauh, 'Walk Away Auto Lock' dan monitor perhatian pemandu baharu.

Buat masa ini, ciri ruang dalaman masih belum boleh didedahkan dan hanya boleh dilihat ketika pelancarannya.

Namun sedikit gambaran yang boleh dikongsi penulis ialah ruang kabin tampil ciri unik dan berbeza daripada model terdahulu.

Senarai harga Honda Civic Serba Baharu juga akan diumumkan oleh Honda Malaysia tidak lama lagi.

SPOILER belakang baharu.
SPOILER belakang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:20 AM