PTV RM75  inisiatif nasional kerajaan perluaskan perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2022.
PTV RM75 inisiatif nasional kerajaan perluaskan perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2022.

Kuala Lumpur: Kerajaan bersama-sama dengan industri insurans serta takaful, akan menawarkan Baucar Perlindungan Tenang (PTV) bernilai RM75 kepada semua penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang layak dalam kategori isi rumah, bujang dan warga emas bermula 1 Januari 2022.

PTV RM75 ini adalah inisiatif nasional kerajaan untuk memperluaskan perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2022.

Baucar ini akan membolehkan mereka memperbaharui polisi/sijil Perlindungan Tenang sedia ada bagi tempoh setahun lagi atau membeli pelan Perlindungan Tenang yang baharu daripada penanggung insurans dan pengendali takaful berlesen.

Penerima BKM yang layak juga boleh menebus baucar RM75 untuk membeli polisi insurans motosikal komprehensif (150cc dan ke bawah) atau sijil takaful.

Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Elmie Aman Najas berkata, pelanjutan program PTV ke tahun kedua bertujuan meningkatkan perlindungan sosial bagi segmen berpendapatan rendah masyarakat Malaysia.

"Sejak program PTV dilancarkan pada 30 September, menjelang 31 Disember 2021, sebanyak 1,109,800 baucar PTV dengan jumlah bersih lebih RM55 juta ditebus," katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Antony Lee berkata, peningkatan kadar perlindungan sosial dan penembusan insurans adalah penting bagi sesebuah negara kerana ia membantu mengurangkan pendedahan orang ramai kepada risiko serta melindungi diri mereka dan orang tersayang daripada bahaya atau gangguan termasuk kehilangan pendapatan.

Banjir baru-baru ini telah menyerlahkan jurang perlindungan dan keperluan untuk melindungi harta benda seseorang daripada bencana alam, yang mana, perlindungan sedemikian boleh didapati di bawah produk insurans am Perlindungan Tenang.

Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Loh Guat Lan berkata, menerusi program baucar Perlindungan Tenang RM75, golongan berpendapatan rendah akan mendapat baucar bernilai lebih tinggi yang membolehkan mereka mempunyai lebih banyak opsyen untuk memilih pelbagai pelan perlindungan mampu milik yang sesuai dengan keperluan mereka.

"Kami ingin menasihatkan semua penerima BKM yang layak agar mengambil peluang ini bagi mendaftar dalam pelan Perlindungan Tenang sebagai jaring keselamatan untuk keluarga serta orang tersayang," katanya.

Di bawah program Perlindungan Tenang, sebanyak 16 syarikat insurans dan pengendali takaful yang mengambil bahagian menawarkan 22 pelan perlindungan yang menyediakan perisai terhadap risiko dalam kehidupan seperti kematian, kemalangan, kebakaran, kerosakan harta benda dan lain-lain kejadian yang tidak dijangka.

Premium sesetengah pelan perlindungan ini bermula daripada serendah RM2.03 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 7:00 AM