PENGGUNA dinasihatkan memeriksa kelayakan mereka dengan menyemak portal MyPTV.
PENGGUNA dinasihatkan memeriksa kelayakan mereka dengan menyemak portal MyPTV.

PENERIMA Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang layak sudah boleh menebus Baucar Perlindungan Tenang (PTV) RM75 mereka dengan hanya RM5 manakala baki RM70 akan ditanggung kerajaan bagi membolehkan penerima menikmati manfaat perlindungan insurans atau takaful.

Dalam satu kenyataan bersama, Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata, caruman RM5 itu adalah sebahagian daripada premium insurans atau sumbangan takaful penerima untuk pelan perlindungan Perlindungan Tenang.

"Sumbangan RM5 untuk penebusan RM75 PTV adalah keperluan baharu untuk meningkatkan lagi pemahaman penerima BKM tentang pelan Perlindungan Tenang dan memastikan penerima BKM mengetahui sepenuhnya tentang pelan insurans/takaful yang mereka beli atau sertai," kata kenyataan itu.

Persatuan industri insurans juga menasihatkan kepada semua penerima BKM supaya memastikan mereka mengetahui kelayakan mereka dengan menyemak portal MyPTV di www.myptv.my.

"Mereka juga dinasihatkan untuk memahami butiran dalam produk perlindungan yang mereka ingin beli/sertai dan memberikan persetujuan yang jelas untuk pembelian produk menggunakan baucar itu," tambahnya.

Sejak pengenalan PTV pada September 2021, inisiatif itu sudah memanfaatkan 1,705,687 individu pada tahun itu sahaja.

Sehingga akhir Jun 2022, sejumlah 2,881,444 baucar sudah ditebus yang menyumbang kepada peningkatan penembusan perlindungan insurans dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

"Berikutan maklum balas daripada orang ramai, industri ingin mengulangi komitmennya untuk memastikan produk insurans/ takaful yang dijual dilaksanakan dengan cara pengguna diberi maklumat sewajarnya mengenai produk berkenaan dan persetujuan individu diperoleh," kata kenyataan bersama itu.

Ia menambah bahawa bayaran minimum RM5 boleh dibuat secara tunai atau dalam talian kepada penanggung insurans atau pengendali takaful produk Perlindungan Tenang yang ingin dibeli atau disertai oleh penerima BKM secara dalam talian atau di kaunter.

Penerima BKM juga dinasihatkan untuk menghubungi syarikat insurans atau pengendali takaful mereka atau melayari laman sesawang MyCoverage di www.mycoverage.my untuk maklumat lanjut mengenai produk Perlindungan Tenang.

Untuk menyemak kelayakan PTV, layari www.myptv.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 7:00 AM