TENGKU Zafrul (kanan) beramah mesra dengan penduduk dalam satu program.
TENGKU Zafrul (kanan) beramah mesra dengan penduduk dalam satu program.

PANDEMIK Covid-19 menjadikan isu keselamatan sosial bagi golongan berpendapatan rendah dalam masyarakat tidak seharusnya dipandang ringan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, memandangkan pengambilan insurans yang rendah di kalangan kumpulan B40 dan dalam semangat #KeluargaMalaysia, subsidi kerajaan untuk perlindungan insurans/takaful adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan jaringan keselamatan sosial untuk B40.

"Ini hanya langkah kecil ke arah penambahbaikan jaringan sosial, yang akan diperhalusi oleh kerajaan melalui Bajet 2022 dan sebagai antara komponen program Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh)," katanya dalam pembentangan laporan Laksana ke-70 di Facebooknya semalam.

Menurutnya, Belanjawan 2021 memperluaskan perlindungan sosial kepada golongan B40 di mana melaluinya, setiap penerima bantuan B40 akan diberi baucar bernilai RM50 sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri.

"Dalam masa sama, kerajaan juga melanjutkan tempoh pengecualian duti setem ke atas semua produk Perlindungan Tenang dengan nilai premium atau sumbangan tahunan tidak melebihi RM100 untuk tempoh lima tahun lagi sehingga tahun taksiran 2025.

"Perlindungan insurans dan takaful penting dalam perancangan kewangan masa depan bagi menawarkan jaringan keselamatan untuk kita sekeluarga.

"Kini, melalui Perlindungan Tenang, golongan B40 boleh membeli atau menyertai pelan perlindungan yang mampu dan mudah difahami dengan proses tuntuan yang senang dan ringkas," katanya.

Perlindungan Tenang menawarkan perlindungan kepada pemegang polisi serta keluarga dalam menghadapi peristiwa yang tidak dijangka (bergantung kepada jenis polisi) seperti kematian, kemalangan, hilang upaya kekal, kebakaran atau kerosakan harta benda.

Keistimewaan Perlindungan Tenang ialah kadar premium/caruman serendah RM1 sebulan dengan pelannya boleh diperbaharui setiap tahun.

Produk berkenaan juga mudah difahami dengan bayaran tuntutan terus kepada pemegang polisi atau benefisiari (penama), sekiranya berlaku musibah, selain proses taja jamin (underwriting) yang mudah dan pengeluaran polisi/sijil yang segera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 7:10 AM